Jumaat, 27 Februari 2009

Coretan Pengalaman

Peperangan di Gaza yang bermula pada 27 Disember yang lepas telah membawa aku terjun ke dalam masyarakat dengan lebih luas. Bulan Januari dan awal Februari adalah hari-hari yang agak sibuk bagi aku daripada kebiasaan. Hampir setiap hari ada sahaja jemputan ceramah dan pameran berkaitan isu Palestin. Alhamdulillah aku bersyukur kerana Allah telah memberi aku sedikit ruang untuk aku berbakti kepada umat Islam Palestin. Semoga amal aku ini diterima Allah.

Aku berceramah dan mengadakan pameran atas tiket Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Pulau Pinang. Rakan-rakan di dalam ISMA banyak membantu aku dalam melaksanakan misi penerangan ini. Mereka banyak membantu aku dalam menyediakan bahan-bahan pameran dan menjaga kaunter jualan ketika aku berceramah. Insan yang paling setia mengikut aku ialah isteri tercinta, Salini bt Suid. Kebetulan sepanjang Januari beliau mengambil cuti tanpa gaji, maka beliau sentiasa menemani aku. Terima kasih sayang.

Sambutan yang diterima sepanjang misi memberi penerangan kepada masyarakat melalui ceramah dan pameran ini amat menggalakkan. Aku melihat masyarakat masih belum mengetahui dengan jelas isu sebenar di Palestin. Mereka akan mendengar dan melihat tayangan aku sediakan dengan penuh khusyu'. Mereka cuba memahami realiti yang berlaku di Palestin.

Selalunya sebaik selesai ceramah aku akan meminta sumbangan daripada audiens. Alhamdulillah kutipan yang didapati di seluruh tempat yang aku pergi berceramah mendapat jumlah yang besar nilainya. Sebagai contoh di Masjid Batu jumlah kutipan adalah melebihi RM3000. Sementara di UiTM Permatang Pauh jumlah yang berjaya dipungut sekitar RM4000. Rakan-rakan aku juga turut mengadakan kutipan di tempat-tempat kerja mereka terutama yang bertugas sebagai guru. Secara kasar jumlah kutipan sehingga kini ialah RM20 000.

Apa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada individu wanita yang sanggup menyumbang cincin dan rantai mereka. Kejadian ini berlaku semasa program Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH) pada 1 Februari di Dewan Milenium Kepala Batas. Seorang wanita datang menyerahkan dua bentuk cincin peribadinya dan seutas rantai mutiara kepada petugas wanita ISMA di kaunter pameran. Sementara di UiTM juga isteriku turut menerima dua bentuk cincin daripada seorang pelajar perempuan. Keempat-empat cincin itu telah dijual dan wang yang didapati berjumlah RM478. Terima kasih masyarakat.

Sesungguhnya apa yang berlaku di bumi Gaza ketika ini adalah suatu perancangn Allah. Allah hendak menguji umat Islam seluruh dunia dan mahu melihat apa yang kita akan lakukan bagi mempertahankan kesucian Baitul Maqdis. Alhamdulillah umat Islam di Pulau Pinang amnya telah cuba membantu dengan kadar kemampuan yang ada. Semoga bantuan kita semua ini akan diterima Allah sebagai amal soleh dan agar bumi suci Palestin akan bebas suatu hari nanti, insya Allah.

Akhirnya aku ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua ahli ISMA Pulau Pinang dalam melaksanakan misi ini. Tidak lupa juga kepada petugas-petugas Aman Palestin di pejabat yang terletak di Bangi kerana melayan karenah aku yang hampir setiap hari 'menyerang' mereka (Farhani terutamanya) kerana ingin mendapatkan barang-barang jualan dan bahan-bahan pameran. Terima kasih juga kepada Dr Zainurrashid Zainudin, Mejar Mohd Nadzri Musman dan Ustaz Shahruzzaman Bistamam yang menjadi guru aku pada TOT di Sg Petani tahun lepas. Ilmu anda semua amat bermanfaat.

Cincin dan rantai yang disumbangkan pada HIMMAH


Menerima sumbangan daripada Pengetua SMK Penanti

Rabu, 11 Februari 2009

Rabu, 4 Februari 2009

Gambar-gambar Program Aman Palestin-ISMA Pulau Pinang

Para pengunjung sedang khusyu' melihat tayangan
Aman Palestin-ISMA

Kaunter pameran Aman Palestin-ISMA P Pinang
pada Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH)
anjuran gabungan NGO-NGO Islam P Pinang.
Kaunter Aman Palestin-ISMA antara yang mendapat
perhatian ramai.
Ceramah Di Bank Islam Seberang Jaya

Sedang berceramah di Auditorium A, Komtar


Pameran Di Komtar sempena program Derma Darah anjuran Kelab SUK P Pinang

Road Show Ceramah Palestin (Selamatkan Gaza)

Berikut adalah tempat-tempat yang telah dan akan saya pergi berceramah 'Selamatkan Gaza'.
3 Januari - Surau Taman Sutera, Seberang Jaya
17 Januari - Masjid Batu, Kampung Pertama
22 Januari - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Mengkuang
23 Januari - SK Mengkuang, Mengkuang dan SK Kuala Muda, Kuala Muda
29 Januari - Pameran Aman Palestin dan Ceramah di Komtar program SUK P Pinang
30 Januari - Bank Islam Malaysia Berhad, Seberang Jaya
3 Februari - SMK Mengkuang, Mengkuang
6 Februari - Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh
Alhamdulillah usaha bersama rakan-rakan dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang ini telah berjaya mengumpul hampir RM16 000 termasuk dua bentuk cincin emas yang belum dinilai lagi dan seutas rantai. Semoga Allah memberi ruang lebih banyak kepada kita untuk menyampaikan sumbangan kepada saudara kita di bumi Gaza yang sedang menderita ketika ini.

Karamah Di Bumi Gaza


Perang 22 hari di Gaza akhirnya dimenangi oleh Islam mengalahkan tentera Israel yang lebih ramai, peralatan yang canggih serta bantuan serangan dari udara dan laut. Kini usaha dan tenaga ditumpu kearah membina semula infrastruktur Gaza yang musnah. Dalam masa yang sama penduduk Gaza bercerita tentang karamah (keramat) yang berlaku sepanjang Jihad tersebut. Ini membangkit lagi keimanan dan semangat mereka untuk terus berjuang membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Yahudi dan Kuasa-kuasa Besar Dunia. Dari ceramah dalam program “Malam Selamatkan Palestin” di Masjid Sikamat, Seremban anjuran ISMA NS yang disampaikan oleh wakil Palestin, Naji As-Sarhiy dan badan-badan kebajikan yang pulang dari Gaza baru-baru ini, berikut adalah sebahagian kecil dari kisah-kisah Karamah tersebut yang sampai kepada saya :

1. Mujahideen, walaupun tangkas di medan darat, namun terdedah kepada bahaya serangan dari udara yang dikuasai 100% oleh tentera Israel. Satu ketika datang sekumpulan burung berhampiran dengan mereka. Tiba-tiba burung-burung tersebut terbang secara mengejut seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ. Melihat keputusan burung-burung tersebut, para Mujahideen juga segera meninggalkan tempat tersebut. Hanya beberapa ketika selepas itu tepat di tempat tersebut dibedil oleh tentera Yahudi.
2. Ketika para Mujahideen bertekad untuk menyerang kawasan tentera Israel, datang kabus meliputi kawasan tersebut, lalu mereka dapat mara sehingga ke tengah-tengah tentera Yahudi sedang musuh tidak dapat melihat mereka. Para mujahideen dapat menembak kesemua musuh dengan mudah.

3. Seorang doktor menceritakan ketika dia membedah seorang mujahid yang dibom oleh Yahudi hingga habis tubuh badannya dimasukki serpihan besi (sharpnel). Mujahid tersebut masih hidup kerana jantungnya tidak ditembusi serpihan besi tersebut kerana serpihan dibahagian dadanya melekat pada kitab Al-Quran yang beliau letakkan di dalam poket bajunya.

4. Enam roket dilancarkan dan berjaya membunuh musuh sedangkan ketua belum lagi mengeluarkan arahan agar roket dilancarkan. Apabila ditegur oleh ketua, para mujahideen menafikan mereka melancarkan apa-apa roket. Apabila diperiksa, memang keenam-enam roket tersebut masih ada di tempat pelancarnya.

5. Apabila seorang tentera Yahudi disoal oleh wartawan talivisyen kenapa matanya menjadi buta. Dia menjawab datang seorang memakai pakaian puti dan melemparkan pasir ke matanya.

6. Beberapa orang tentera Yahudi mengatakan bahawa tentera HAMAS yang mereka lihat memakai pakaian putih, sedangkan para Mujahideen memakai pakaian ala tentera seperti biasa.

7. Seorang wanita mengandung disahkan doktor disetiap pemeriksaan bahawa kandungannya adalah bayi perempuan. Sebaik suaminya syahid dalam Perang Gaza, pemeriksaan doktor mendapati kandungannya adalah seorang lelaki.

8. Dalam masa 22 hari peperangan, bayi-bayi lelaki yang dilahirkan lebih ramai dari kebiasaan iaitu lebih dari 3000 orang bayi lelaki. Bilangan yang terbunuh ialah seramai lebih 1300 orang (sahaja). Allah swt menggantikan dalam peperangan tersebut, mujahideen masa depan yang lebih ramai.

9. Apabila jenazah Hasan Ismail Abu Syanab yang syahid pada hari pertama serangan Yahudi ke atas Gaza, hendak dikebumikan diliang lahad ayahnya, Asy-Syahid Ismail Abu Syanab, yang syahid 5 tahun lalu, mereka dapati jasad Ismail masih dalam keadaan seperti mula-mula dikebumikan 5 tahun lalu. Kain kafannya masih putih bersih. Sila ke laman Karamah Asy-Syahid Ir. Ismail Abu Syanab di Gaza. Beliau adalah salah seorang pengasas dan pemimpin HAMAS.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda keterangan Kami di ufuk dan dalam diri-diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa Dia adalah benar. Tidakkah cukup lagi bahawa Tuhanmu, sesungguhnya Dia menyaksi segala sesuatu. “ (Fussilat:52).
Dipetik daripada blog Ustaz Halim http://www.inijalanku.wordpress.com/

Isnin, 2 Februari 2009

Keluarga Saya



Dari kiri: Salini, Nu'man dan Ulwan

Inilah ahli keluargaku. Isteriku bernama Salini bt Suid. Beliau baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 27 pada 16 Januari yang lepas. Beliau bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Tahfiz Al Islah, Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.


Kami telah berkahwin pada 5 Disember 2004 di Surau Al Ehsan, Taman Samudera, Seri Manjung, Perak. Perkahwinan yang telah berusia empat tahun ini telah dikurniakan dua oran cahaya mata lelaki. Alhamdulillah.

Anak sulung kami diberi nama Ulwan. Sekarang ini berusia tiga tahun empat bulan. Ulwan dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang melalui proses pembedahan. Tarikh kelahiran ialah pada 11 Ramadhan 1426 Hijrah bersamaan dengan 14 Oktober 2005. Kini, Ulwan belajar di Taska Sekolah Tahfiz Al Islah. Belajar budak-budak je.

Anak kedua kami pula ialah Nu'man. Nu'man dilahirkan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 5 Jamadil Akhir 1428 Hijrah bersamaan dengan 21 Jun 2007. Kini berusia setahun lapan bulan, Nu'man diletakkan di sebuah pusat jagaan anak ketika kami keluar bekerja.
Cukup dulu setakat ini. Lain kali saya akan sambung dan ceritakan tentang diri saya pula.

Selamat Datang

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pembaca. Blog banguninsan1 ini dibina dengan tujuan membangunkan nilai-nilai keinsanan mengikut al quran dan as sunnah. Semoga kita semua boleh berkongsi aspek pembangunan insan dengan lebih baik lagi. Harapannya agar blog ini boleh menjadi alternatif kepada bahan bacaan di luar sana yang tidak memberi manfaat kepada nilai keinsanan.