Khamis, 28 Januari 2010

Sahabat.....Ukhuwah Kita Sedang Diuji Allah



Tulisan hari ini adalah sedikit luahan perasaan yang mencengkam jiwa sejak beberapa hari yang lalu. Semoga luahan ini masih lagi berada di bawah naungan rabbul jalil. Aku sebenarnya agak sedikit terkejut dengan kata-kata seorang sahabat yang menyatakan sahabat kami yang amat kami hormati berasa kecil hati dengan aku. Aku menerima penjelasan daripada sahabat tersebut kenapa sahabat kami itu berasa kecil hati. Mungkin di sana ada kesilapan aku sebagai manusia kerdil di bumi Allah ini.

Pada malam aku mendapat tahu perkhabaran ini terus aku memberikan beberapa penjelasan yang sepatutnya. Dalam perjalanan pulang ke rumah lebih kurang pukul 12.30 malam fikiranku menerawang memikirkan tentang sahabat aku yang terasa dengan aku tersebut. Sebenarnya aku amat menghormati sahabat aku ini. Dia banyak membantuku. Kami banyak berbincang banyak perkara secara bersama. Cuma kini mungkin disebabkan lokasi yang agak terpisah kami jarang berbicara bersama lagi.

Tanpa ku sedari, air mataku mengalir membasahi pipi di keheningan malam tersebut. Inilah kali kedua air mataku tumpah kerana sahabat ini. Pertama kali air mata jantanku membasahi pipi kerana sahabat ini lebih kurang dua minggu yang lalu. Ketika itu aku sedang berbual dengan isteriku di dalam kereta tentang keputusan sahabatku ini yang amat mengejutkan kami. Namun aku menerima dengan terbuka dan berlapang dada keputusannya. Yang menyebabkan aku menitiskan air mata tanpa sedar ialah kerana keputusan yg dibuat sahabat aku ini hampir sama jalan ceritanya dengan seorang rakanku tiga empat tahun yang lalu. Aku bimbang kebahagiaan yang dikecap kini goncang dek kerana keputusan itu. Namun aku menguatkan hati untuk meyakini keputusan sahabatku ini.

Selepas ramai sahabat-sahabat kami mengetahui keputusan sahabatku ini ramai yang bertanya pendapat aku tentang keputusan sahabatku tersebut. Mungkin mereka bertanya aku kerana aku dilihat rapat dengan sahabatku ini. Aku hanya memberi jawapan "Hormatilah keputusan mereka sekeluarga. Jagalah hati dan perasaan mereka." Itulah kenyataan pertama aku dan terakhir tentang keputusan sahabatku ini.

Ya benar, aku tidak menghadiri jemputannya dan aku juga tidak memberi sebarang ucapan kepadanya atas keputusannya itu. Aku punya sebab tersendiri yang akan kunyatakan sendiri suatu hari nanti. Masanya pasti akan tiba untuk aku perjelaskan kepadamu wahai sahabat.

Wahai sahabat, sekiranya engkau tahu apa yang sedang aku fikirkan kini pastinya engkau tidak akn berkecil hati denganku. Namun engkau punya hak untuk rasa berkecil hati dek kerana tindakan aku itu. Sahabat, ketahuilah betapa aku tidak pernah bersikap negatif dengan keputusanmu. Cuma berilah aku masa untuk bertemu denganmu untuk kita rungkaikan kekusutan yang ada kini. Aku tahu engkau mungkin kecewa dengan aku ketika ini. Namun percayalah sahabat, aku sedikit pun tidak marah atau berkecil hati denganmu. Sahabat, ukhuwah kita sedang diuji Ilahi kini. Jangan kita biarkan syaitan merosakkan ukhuwah fillah yang telah lama kita bajai ini. Ayuh kita suburkan kembali agar apa yang kita impikan bersama dapat kita capai.

Rabu, 27 Januari 2010

Hasan Al Banna Dalam Kenangan


Hasan Al-Banna dilahirkan di kota Al-Mahmudiyah, daerah Al-Buhairah, Mesir pada tahun 1906 Masehi.

Ayahnya bernama Abdul Rahman Al-Banna dan beliau adalah seorang ulama' di masa itu.

Beliau mendalami ilmu Hadits dan memiliki beberapa karya dalam ilmu hadits, khususnya kitab beliau yang terkenal iaitu "Al-Fathu Ar-Rabbani Litartibi Musnadi Al-Imam Ahmad".

Setiap hari, Abdul Rahman menjalankan profesyennya sebagai tukang jilid buku dan pembaiki jam dan disebabkan keahlian beliau dalam membaiki jam itulah, beliau diberi gelaran dengan "Assa'ati" atau (Tukang Jam).

Hasan Al-Banna tumbuh dan membesar dalam keluarga yang dianugerahkan ilmu dan kesolehan.

Beliau pertama kali menimba ilmu di Madrasah Al-Rasyad Ad-Diniyyah, kemudian di Sekolah Menengah di Al-Mahmudiyah.

Penglibatannya dalam aktiviti dakwah dan amar makruf - nahi mungkar dimulai sejak awal iaitu sewaktu masih di sekolah rendah lagi di mana ketika itu Hasan Al-Banna dengan beberapa sahabatnya mendirikan organisasi "Al-Khallaq Al-Adabiyah" (Badan sosial tentang adab dan akhlak) kemudian menubuhkan pula "Jam'iyyah Man'il Muharramat" (Badan sosial bagi mencegah perbuatan-perbuatan haram). Selain itu beliau juga mengikuti Tariqat Sufiyah Al-Hashafiyah sehingga dirinya dapat memahami akan nilai-nilai zuhud, kesucian jiwa dan tajarrud.

Pada tahun 1920, beliau diterima belajar di Darul Al-Muallimin di kota Damanhur, di mana beliau menyelesaikan hafalan Al-Qur'an di sana iaitu ketika berusia 14 tahun. Dalam usia tersebut, beliau juga terlibat dalam demonstrasi kebangsaan menentang penjajahan.

Pada tahun 1923, Hasan Al-Banna berpindah ke Kaherah untuk melanjutkan pelajarannya di Darul Ulum, Universiti Kaherah. Dari situlah wawasan baru Hasan Al-Banna mula terbuka secara luas.
Di samping menghadiri Majlis Thariqat Al-Hashafiyah, beliau juga sangat aktif di Perpustakaan Salafiyah dan majlis-majlis ilmu para ulama Al-Azhar.

Kehadiran beliau dalam berbagai majlis tersebut sentiasa memberikan motivasi kepada mereka untuk melakukan amal islami (dakwah) dengan berbagai wasilah sehingga akhirnya, pemikiran dan manhaj dakwah semakin matang dalam dirinya.

Dengan beberapa sahabatnya, Hasan Al-Banna memulakan dakwahnya di beberapa majlis ilmu, kedai-kedai kopi dan berbagai organisasi yang ada.

Pada tahun 1927, Hasan Al-Banna lulus dari Darul Ulum dengan pangkat pertama. Beliau kemudiannya dilantik menjadi guru di kota Ismailiyah berhampiran Terusan Suez di mana beliaupun pindah ke sana sambil mematangkan manhaj dakwahnya.

Di Ismailiyah, Hasan Al-Banna menjalin hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat sehingga sampai ke masjid-masjid di mana beliau terlibat dalam usaha untuk menyelesaikan berbagai "khilafiyah" (perselisihan) yang berkembang sehingga mengancam persaudaraan Islam ketika itu.

Melalui ilmu yang mendalam dan pengalaman yang matang, Hasan Al-Banna telah menyusun manhaj dakwah yang sangat istimewa dan sekaligus mampu mengaplikasikannya di medan umum.

Maka bersama enam orang sahabat seperjuangannya, pada bulan Zulqaidah 1347 atau Mac 1928, mereka membentuk satu jamaah yang dinamakan "Ikhwanul Muslimin".

Sejak hari pertama kemunculannya, Ikhwanul Muslimin terkenal dengan program "kembali kepada keaslian Islam" melalui dua sumber utamanya, iaitu Al-Quran dan As Sunnah tanpa disibukkan oleh perkara-perkara perbezaan ranting agama.

Imam Al-Banna dalam dakwahnya, memberi penumpuan dalam mencurahkan semua potensi untuk melahirkan generasi mukmin yang memahami Islam secara benar dan menyeluruh dengan dasar pemikiran bahwa Islam itu :

1. Agama dan Negara.

2. Ibadah dan jihad.

3. Syari'ah dan Perlembagaan.

serta meliputi semua sistem yang mengatur segala aspek kehidupan manusia, termasuk di dalamnya pendidikan, sosial, ekonomi dan politik.

Ketika Ikhwanul Muslimin lahir, khususnya di Mesir, gerakan dakwah ketika itu didominasi oleh pemikiran dakwah salafiyah dan tarikat-tarikat sufi (tasawuf) sehingga pertikaian di antara dua kelompok tersebut amat meruncing sekali.

Pemikiran Islam ketika itu hampir-hampir didominasi oleh kalangan ulama Al-Azhar (Azhariyyun) . Pengaruh gerakan Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha juga sangat jelas di medan umum. Para cendekiawan dan penulis bermati-matian memberi alasan bahwa Islam tidak bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan kemajuan peradaban.

Oleh kerana itu, munculnya pemikiran Hasan Al-Banna melalui gerakan Ikhwanul Muslimin yang komprehensif itu merupakan perkara yang baru dalam pemikiran Islam ketika itu. Apalagi ketika Ikhwanul Muslimin berhasil mencetak generasi Islam baru yang kuat imannya dan cerdas pemikirannya sehingga kekuatan peradaban Barat tidak lagi terasa di bandingkan dengan peradaban Islam.

Mereka juga meyakini bahwa hakikat ilmiah (kauniyah) tidak pernah bertentangan dengan kaedah-kaedah syari'yyah yang tetap di mana faktor inilah yang menyebabkan Ikhwan berhasil menarik golongan pemuda dan ilmuan dari berbagai kalangan, termasuk kelompok Azhar. Semangat keislamanpun berhasil dibangunkan kembali oleh Ikhwan ke dalam diri mereka.

Di Ismailiyah, Al-Banna mulai membangun institusi-institusi dakwah. Ia mendirikan masjid dan pusat operasi (markaz) Ikhwan. Setelah itu ia mendirikan pula Sekolah Islam Hira' dan Sekolah Ummahatul Mukminin. Dakwahnya berkembang pesat di Ismailiyah dan kota-kota di sekitarnya.

Pada tahun 1932, Al-Banna berpindah ke Kaherah iaitu ibu negara Mesir. Perpindahannya ke Kaherah menyebabkan pusat operasi Ikhwan turut sama berpindah ke sana. Dari Kaherahlah gerakan dakwah Ikhwan dirancang oleh Al-Banna untuk dikembangkan dan disebarkan ke seluruh penjuru kota dan desa di negara Mesir dan bahkan ke seluruh dunia.

Semua buah fikiran, ilmu, tenaga, harta dan apa sahaja yang dimilikinya, ia curahkan untuk dakwah sehingga tidak terlalu lama, iaitu sekitar 20 tahun, dakwah Ikhwan sudah tersebar di seluruh pelusuk negara Mesir dan sebahagian besar dunia Islam.

Di samping penekanan kepada pembentukan generasi yang kental, Hasan Al-Banna juga menyedari betapa pentingnya media massa dalam penyebaran fikrah dan pembentukan pendapat umum. Oleh sebab itu, beliau menerbitkan majalah pertama mingguan "Al-Ikhwanul Muslimin", kemudian majalah "An Nadzir" serta berbagai buletin lain di samping pelbagai tulisan beliau yang tersebar di berbagai lembaran dan media.

Penekanan beliau terhadap :

1. Tarbiyah.

2. Penyebaran pemikiran dakwah.

3. Pembentukan jamaah dakwah yang kuat.

masih menjadi fenomena masa kini di seluruh penjuru dunia Islam.

Hasan Al-Banna berusaha semaksima mungkin agar gerakan dakwahnya tidak hanya terbatas di wilayah Mesir, malah beliau memikirkan bagaimana gerakan ini mampu menyebar ke dunia global sebagaimana Islam itu sendiri yang bersifat global.

Maka pada tahun 40an, gerakan dakwah Al-Banna sudah sampai ke semua negara Arab dan bahkan masuk ke sebahagian besar dunia Islam lain. Untuk tujuan tersebut, Al-Banna dengan secara konsisten telah mengirim delegasi dakwahnya ke berbagai penjuru dunia Islam sambil mempelajari keadaan umat Islam di sana.

Ketika itu boleh dikatakan hampir semua bumi Islam sedang dijajah oleh kaum penjajah Barat yang beragama Kristian. Dengan pengiriman delegasi-delegasi dakwahnya, boleh dikatakan hampir semua tokoh pergerakan kemerdekaan ketika itu kenal dengan Hasan Al-Banna khususnya di Arab Saudi, Pakistan, India, Indonesia, Sudan, Somalia, Syria, Jordan, Irak, Tunisia, Algeria, Moroko dan begitu juga Palestin. Bahkan pusat operasi Ikhwanul Muslimin di Kaherah telah menjadi tempat berkumpul bagi umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Hasan Al-Banna memiliki perhatian yang khusus berkait dengan masalah Palestin. Ia memiliki pandangan yang tajam dan wawasan yang luas tentang bahaya Yahudi. Sejak awal berlakunya revolusi Palestin pada tahun 1936, Ikhwanul Muslimin menerajui kebangkitan gerakan pembebasan Palestin di dunia Arab.

Ketika pasukan Arab masuk ke Palestin pada tahun 1948, para Mujahidin Ikhwan terlibat secara langsung dan mengambil peranan yang sangat penting. Mereka masuk dari sebelah barat melalui Mesir dan dari sebelah timur melalui Syria. Ramai di antara mereka yang gugur syahid.

Setelah itu pihak Barat mengeluarkan arahan kepada pemerintah Mesir untuk membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin dan menangkap para aktivisnya yang turut melakukan jihad sekembalinya mereka dari peperangan di Palestin. Perkara tersebut berlaku selepas satu gencatan senjata dan perjanjian damai yang telah ditandatangani.

Melihat perkembangan Ikhwanul Muslimin yang sangat memberangsangkan dalam berbagai lapangan kehidupan, khususnya terbentuknya generasi Mukmin baru yang hanya meyakini Islam sebagai cara hidup, golongan anti Islam antarabangsa menasihatkan pemerintah Mesir ketika itu untuk membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan cara yang amat keji dan kejam. Para tokoh dan pemudanya dipenjarakan manakala kekayaaan mereka dirampas secara zalim.

Mereka biarkan Hasan Al-Banna sendiri di luar penjara agar mudah untuk membunuhnya melalui tangan Raja Faruk di salah satu jalan di Kaherah pada 14 Rabiuts-Tsani 1368 hijriyah bertepatan dengan 12 Februari 1949.

Maka Hasan Al-Bannapun berhasil meraih cita-cita tertingginya, iaitu mati syahid di jalan Allah swt.

Sekalipun mursyid pertama Ikhwanul Muslimin, Imam Hasan Al-Banna telah terbunuh, peristiwa tragis tersebut tidak mampu menghentikan aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin itu sendiri, bahkan dengan tertangkapnya para anggota jamaah dan disekat peranan dan gerakannya, mereka tetap berusaha keluar dari ujian yang berat tersebut untuk ikut berperang melakukan penentangan terhadap penjajah Inggeris di Terusan Suez yang terjadi pada tahun 1951.

Sehingga kini gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna terus berkembang dan meluas hingga ke seluruh dunia, menyebarkan ideologi asas Islam di tengah-tengah pertentangan ideologi barat yang merosakkan.

Pada ketika ini juga kita mendapati bahwa ideologi Islam yang tertulis dalam kitab-kitab harakah karangan ahli gerakan Ikhwanul Muslimin telah banyak tersebar di tengah-tengah masyarakat, seakan-akan ia menjadi suatu kemestian dalam aktiviti dakwah Islam dengan berbagai kegiatanya dan bentuknya untuk diterapkan dalam berbagai sisi kehidupan samada dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi dan politik umat Islam sehingga berhadapan dengan musuh-musuh Islam sekalipun, tulisan-tulisan ini mendorong mereka untuk berjihad di jalan Allah untuk menegakkan kalimat Allah dan mendirikan hukum Islam di muka bumi.

Jika terdapat dalam dunia Islam ketika ini teori yang berpandangan adanya gerakan Islam yang menisbahkan dirinya pada dakwah dan tarbiyah semata-mata tanpa amal siyasi (politik) atau memberi fokus hanya kepada amal askari (ketenteraan) semata-mata tanpa tarbiyah dan dakwah untuk menuju amal siyasi; maka pandangan tersebut merupakan suatu penyimpangan dalam konsep dan pengalaman yang telah dilalui oleh gerakan Ikhwanul Muslimin.

Ini adalah kerana pandangan yang dilontarkan oleh Imam Hasan Al-Banna telah dibangunkan di atas kaidah "syumuliyah" (kesempurnaan) dan "tawazun" (keseimbangan) terutama dalam melakukan pembinaan keperibadian Islam.

Oleh itu, pembinaan Islam tidak akan terbangun kecuali terdapat di dalamnya unsur-unsur Islam seperti :

1. Aqidah dan syari'ah.

2. Akhlak dan politik.

3. Ibadah dan hukum.

4. Jihad di jalan Allah.

Di atas dasar-dasar itulah Rasulullah saw membangun Islam pada masa awal pembentukannya dan di atas asas itu pulalah bangunan Islam berdiri, sebagaimana pula yang diikuti oleh Imam Hasan Al-Banna dalam jamaah Ikhwanul Muslimin serta di atas asas-asas itu pulalah diharapkan gerakan Islam lain berjalan dan mengikuti langkah-langkah mereka.

Semoga Allah swt ampuni dosa-dosanya dan melimpahkan rahmat-Nya kepada beliau dan melapangkan jalannya menuju syurga.

Sumber : Ikhwan webnetonline

Rabu, 20 Januari 2010

Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa



Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) akan mengadakan Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna (Kobanna) pada 30 Januari 2010. Justeru itu ISMA berbesar hati menjemput anda semua para pembaca hadir ke Kobanna bagi mendapat gambaran jelas idea dan pemikiran Hasan Al Banna dalam melakar agenda bangsa Melayu. Jom daftar....jadilah salah seorang daripada 3000 individu Islam yang hadir dalam program yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia.

Selasa, 19 Januari 2010

Kenali Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy

Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Kelapan bagi Jamaah Ikhwan Muslimin.

Mursyid Am kelapan, Dr Mohd Badi’ memberi kucupan hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ketujuh, Ustaz Mahdi Akef pada sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi Jamaah Ikhwan Muslimin.


Pada pukul 11.00 am (5.00 pm waktu Malaysia) tadi, Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am ke lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ menggantikan Mursyid Am Ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau TaufiqNya dalam memimpin jemaah Ikhwan Muslimin yang menjadi salah satu tempat harapan ummah Islamiyah dalam mengembalikan identity Islam kedalam diri dan masyarakat Islam, berhadapan dengan penentangan dan projek gergasi Amerika, Yahudi dan barat untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam. “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan akan meneguhkan pendirian dan kedudukan kamu” (Al-Quran).

Dipetik daripada http://inijalanku.wordpress.com

Ucapan Sulung Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Kelapan - Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy

Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam bagi Rasulullah, kepada para sahabatnya dan semua yang mengikutinya.

Ikhwah dan Akhawat yang dimuliakan,

Saya dahulukan dengan sapaan Islam yang mulia: Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Dengan kehendak Allah Azza wa Jalla, saya mengambil tanggungjawab yang besar ini, yang mana Allah telah tetapkan untuk saya, dan dengan permintaan dari gerakan Ikhwan Muslimun(IM) yang saya sahutnya dengan sokongan dari Allah. Dengan sokongan anggota Ikhwan Muslimun, saya berharap untuk mencapai tujuan-tujuan yang besar yang kami curahkan seluruh tenaga kami, semata-mata kerana Allah

Ikhwah dan Akhawat,

Saya dahulukan ucapan saya dengan memberi penghormatan kepada guru kita, abang, dan ketua kita yang mulia Ustaz Muhammad Mahdi Akef, Mursyid Am IM yang ketujuh, seorang yang tegas, berdedikasi dan bersemangat tinggi yang telah mengetuai perjalanan pergerakan ini di tengah-tengah ribut dan badai dan telah melepasi segala rintangan, yang mana telah menghasilkan model dan contoh yang baik dan unik kepada semua pemimpin dan pegawai tinggi di dalam kerajaan, pertubuhan dan parti, dengan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan selepas hanya satu penggal.

Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan kami kepada pemimpin hebat yang juga murabbi kami dan kami hanya boleh mengucapkan ”Semoga Allah membalas jasa anda dengan balasan sebaiknya dan Allah anugerahkan dengan pahala para Siddiqin”

Kami ucapkan kepada ikhwah dan akhawat yang dikasihi di seluruh dunia, alangkah baiknya sekiranya anda berada bersama-sama kami semasa peristiwa besar ini berlaku, namun ianya tidak berlaku oleh kerana pelbagai sebab yang di luar kawalan kita, namun kami tetap merasakan kehadiran ruh anda yang sedang mengukir senyuman dan getaran yang jujur dan ikhlas.

Kepada mereka yang kami kasihi yang menghuni penjara kezaliman dan penindasan hanya kerana menegaskan bahawa Allah tuhan kami dan kerana mengangkat maruah, kehormatan dan kemajuan negara mereka, kami berikan sanjungan dan hormat kepada mereka di atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan, yang mana kami yakini tidak sia-sia. Kami doakan hati nurani para penzalim dan penindas sekalian akan tersentuh dan anda berpeluang untuk kembali bersama-sama menyokong usaha kita, semoga Allah merahmati dan melindungi anda semua.

Ikhwah dan akhawat,

Sepertimana yang diketahui semua, matlamat utama Ikhwan Muslimun (IM) ialah perubahan yang menyeluruh dan lengkap, yang akan membetulkan segala kerosakan menerusi islah dan perubahan. ”Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah” (Hud:88) dan dengan kerjasama semua punca-punca kuasa dan mereka yang mempunyai semangat tinggi yang tulus terhadap agama dan negaranya.

IM percaya Allah telah meletakkan semua asas yang perlu untuk pembangunan dan kebajikan negara dalam ajaran Islam; maka Islam mestilah menjadi sumber rujukan dan titik tolak bagi pembaharuan, yang dimulakan dengan proses tarbiyah dan melatih disiplin individu muslim, diikuti dengan pembentukan keluarga dan masyarakat muslim dengan mengukuhkan mereka, seterusnya dengan membawa keadilan dan berjihad untuk memerdekakan negara dari segala bentuk penguasaan asing atau penjajahan intelektual, spiritual dan kebudayaan serta penjajahan ekonomi, politik dan ketenteraan. Seterusnya membawa negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan meletakkan negara di persada dunia.

Dengan kefahaman Islam yang komprehensif ini, IM telah digambarkan sebagai pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (Toriqah Sunniyah), hakikat sufi (Haqiqah Sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: ” Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77)

IM memahami bahawa Quran dan Sunnah merangkumi semua peraturan, yang digunapakai dalam segenap aspek kehidupan dan ummah ini perlu memilih yang terbaik untuknya berdasarkan peraturan ini, di mana alternatif dan pilihan fikah boleh berubah mengikut adat kebiasaan, masa dan tempat.

Ikhwah dan akhawat

Walaupun idea, matlamat dan objektif kami adalah jelas, banyak pihak cuba untuk menggambarkan kami dengan gambaran yang lain, meletakkan matlamat dan objektif yang berbeza terhadap kami; oleh kerana itu, kami selalu memperkenalkan kembali diri kami, prinsip dan pendirian kami terhadap isu semasa.

Saya ingin menyatakan kepada mereka yang mendokong kesatuan jamaah, bahawa mereka yang bekerja untuk Tuhan mereka, agama dan negara haruslah bekerja sebagai satu unit, walaupun memiliki perbezaan pandangan. Mereka yang mengatakan bahawa perbezaan pandangan akan menyebabkan perpecahan atau memberi kesan kepada ukhuwwah, sebenarnya tidak benar-benar memahami IM. Anggota IM telah berjanji dengan Allah untuk bekerja keras demi Allah sebagai satu unit seperti sebuah binaan yang tersusun.

IM bergerak berdasarkan peraturan dan disiplin, yang sentiasa diperbaharui dan diperkemas tanpa melanggar prinsip-prinsip yang asas, dan dalam hal ini IM sentiasa menerima nasihat dan pandangan semua pihak kerana mereka mengikut pepatah ” Allah merahmati mereka yang menunjukkan kekurangan kami”.

Ikhwah dan akhawat

Saya mahu menyorot dan menekankan beberapa perkara berikut:

• Kami adalah satu Jamaah dari umat islam dan bukan Jamaatul Muslimin, kerana satu kumpulan tidak boleh memonopoli Islam. Dan alhamdulillah, IM sangat popular di semua negara Arab dan negara Islam kerana pendiriannya yang sederhana yang berpaksikan Qur’an dan Sunnah.

• Dakwah dan pergerakan kami adalah bersangkutan dan saling bersandar antara satu sama lain. Pergerakan kami adalah berdasarkan dakwah kami dan motto kami seperti yang telah disebutkan dalam Qur’an: ”Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (al-Hasyr:10)

• Kami percaya dengan proses islah secara berperingkat, yang mana ini boleh dicapai dengan perjuangan yang damai dan mengikut lunas undang-undang berdasarkan pujukan dan dialog dan sekali-kali bukan melalui paksaan. Maka kami menolak keganasan dan segala bentuknya samada di pihak kerajaan mahupun individu, daripada organisasi atau institusi.

• IM percaya bahawa sistem undang-undang perlu memberi ruang kepada kebebasan individu, syura atau demokrasi, mendapatkan kedaulatan kuasa dari suara rakyat, mengenalpasti kuasa dan pemisahan antaranya (eksekutif, legislatif dan kehakiman. *Tambahan penterjemah), kerana inilah sistem yang paling hampir dengan Islam dan IM tidak akan menerima alternatif yang lain. Dengan perspektif ini, mereka mengambil bahagian dalam politik negara dan menuntut perubahan sistem politik melalui jalan yang sedia ada dan aman seperti melalui parlimen dan kerja kemasyarakatan yang mereka anggap sebagai satu kewajipan sepertimana kefahaman mereka terhadap agama mereka dan ketulusan mereka terhadap ummah.

• Berkenaan pendirian kami terhadap rejim Mesir, kami menekankan bahawa IM tidak pernah menjadi musuh kepada rejim, walaupun rejim selalu memberi sekatan ke atas mereka, merampas wang mereka dan sering menangkap pemimpin-pemimpin mereka. Walaubagaimanapun IM tidak pernah sedikitpun mengurangkan usaha menentang dasar-dasar yang mendatangkan kerosakan dari segala sudut dan terus menerus memberi pandangan dan nasihat untuk mengharungi krisis yang berterusan ini, yang disebabkan oleh rejim ini. IM membesarkan anak-anak bangsa dengan memberi nilai akhlak, moral dan sentiasa membantu orang lain, yang mana semuanya memberi manfaat kepada ummah, rakyat dan institusi negara.

• IM menekankan bahawa pendirian mereka terhadap apa jua sistem adalah berdasarkan mendokong yang baik dan menolak yang buruk, maka mereka tidak menolak sesuatu semata-mata kerana tidak sukakannya.

• Kepada saudara Kristian kami di dunia Arab dan dunia Islam, pendirian kami sangat jelas bahawa mereka adalah rakan kongsi dan peserta dalam membina tamadun ummah, rakan sekerja kami dalam mempertahankannya, rakan karib dalam pembangunannya, maka berurusan dan bekerjasama dengan mereka adalah satu kewajipan dalam Islam. ”Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah:8)

• IM percaya bahawa kerakyatan sesuatu negara adalah berdasarkan kerjasama dan kesaksamaan dalam hak dan tanggungjawab, kecuali dalam hal peribadi, yang mana mengikut kepercayaan masing-masing

• IM menolak dengan keras dan mengutuk segala bentuk keganasan atas dasar agama yang sering terjadi dan menyatakan penolakan terhadap peristiwa yang menyakitkan ini, kerana penganut Kristian dan Muslim adalah satu komuniti dari segi struktur sosial dan budayanya. IM juga menyeru untuk diadakan perbincangan yang telus berkenaan sebab di sebalik ketegangan ini dan mencari penyelesaian untuk menghilangkan sensitiviti keagamaan dan mengembalikan negara menjadi satu unit..

• Berkenaan isu wanita, IM telah dengan jelas selama ini memperjuangkan hak-hak wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. ”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.” (at-Taubah:71). Kami menyeru wanita muslim untuk memainkan peranan mereka dan sentiasa mengambil tahu isu semasa kerana ini akan memberi manfaat kepada ummah Islam dan Arab.

• Syura (atau demokrasi) adalah wasilah asas kami, kami bersungguh-sungguh melaksanakannya dan mengukuhkannya. Semua institusi dalam pergerakan ini meletakkan syura dan demokrasi sebagai asasnya, bermula dari majlis di peringkat cawangan sehingga pejabat Maktab Irsyad sendiri. IM menekankan bahawa syura atau demokrasi tidak menghilangkan suara pandangan pihak yang lain, dan mengambil pendapat majoriti sebagai keputusan untuk semua.

• Berkaitan dengan Islam, kerajaan, parti politik, intelektual dan elit budaya, IM percaya bahawa setiap orang harus mengambil bahagian dalam pembangunan dan pembaharuan dan menolak sebarang usaha meminggirkan individu atau persatuan mahupun peranan mereka. Mereka menerima kepelbagaian parti dan kebebasan untuk membentuk sebarang parti tanpa sekatan selagimana ianya masih dalam rangka perlembagaan negara. Mereka percaya dengan peralihan kuasa di antara parti dan kumpulan menerusi pilihanraya yang bebas dan adil kerana negara ini adalah milik bersama dan pembaharuan adalah tanggungjawab setiap individu.

• IM meletakkan isu Palestin sebagai satu keutamaannya dan menganggap isu ini adalah yang terpenting bagi ummah. Kesucian bumi Palestin dan kedudukan Masjid Aqsa di hati kita mengukur tahap kesetiaan kita kepada islam dan bangsa arab. IM tidak mengurangkan sedikitpun usaha untuk mengetengahkan isu ini agar ianya menjadi isu utama sistem pemerintahan dan ummah sehingga Palestin merdeka, InsyaAllah.

• IM bersungguh-sungguh menyokong negara Arab dan Islam serta menyokong pendirian mereka yang adil dan isu-isu penting mereka. IM tidak teragak-agak untuk menghulurkan nasihat kepada semua badan dan persatuan Arab atau Islam samada dalam bentuk yang rasmi mahupun secara umum. Mereka juga tidak pernah berhenti berkorban demi Ummah ketika mana diperlukan. Mereka menyeru negara Arab dan Islam untuk bersatu dan bekerjasama menentang projek penjajahan, hegemoni barat dan zionis, sepertimana mereka menyeru untuk kesatuan ummah dan menyelesaikan permasalahan didalam dan di antara negara Arab dan Islam menerusi dialog dan bukan dengan senjata. Kami mengingatkan saudara kami di Yaman, Sudan, Somalia, Iraq, Lebanon, Afganistan dan Pakistan, bahawa satu-satunya jalan untuk memastikan keselamatan dan keamanan rakyat mereka adalah dengan berdialog dan bersetuju mengenai apakah jalan yang terbaik buat mereka.

• Pendirian kami terhadap sistem global yang dikuasai USA dan barat adalah sangat jelas. Kami tidak bermusuh dengan negara-negara barat, tetapi kami menentang sistem ini kerana ia menuntut demokrasi dan kebebasan untuk rakyatnya manakala menafikannya buat kami. Negara-negara barat menggunakan kekuatan ekonomi untuk mempengaruhi dan mengawal negara kami. Negara Zionis menuntut penghapusan dan penggantian nilai, budaya dan identiti Islam dengan nilai barat, yang mana akan merosakkan iman dan akhlak di negara kami. Kami menyeru ummah untuk bersatu menghadapi Zionis dan projek barat dan mengatasi segala perbezaan ideologi, menghentikan perkauman, dan menolak segala bentuk serangan atau penjajahan terhadap negara Arab atau Islam.

• Kami menuntut sistem global ini diubah menjadi adil dan benar dan terus bekerja ke arah keamanan dan kerjasama di antara bangsa-bangsa dunia dan menyebarkan nilai kebebasan dan keadilan di seluruh dunia. Seperti mana disebut di dalam hadis: ” Setiap kamu adalah anak cucu Nabi Adam, dan Adam dicipta dari tanah” (Hadis riwayat AlBazzar). Juga firman Allah: ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat:13). Juga hadis : ”Kaum Arab tidaklah lebih mulia dari yang lain dan begitu juga sebaliknya, orang yang berkulit hitam tidaklah lebih mulia dari yang berkulit putih dan begitu juga sebaliknya, kecuali dalam ketaqwaan”.(Hadis riwayat Attabarani)

Ikhwah dan Akhawat

Kita melihat masa depan dengan penuh harapan dan keprihatinan.

Harapan adalah slogan hidup mukmin yang benar. Dan ia merupakan bekalan di perjalanan yang panjang, maka kita terus beramal dengan segenap harapan. Kasih sayang dan ukhuwwah merupakan wasilah ikhwan menghadapi kesusahan. Sesungguhnya berputus asa bukanlah sifat mukmin dan berdiam diri bukanlah kualiti seorang mujahid. Keprihatinan kami adalah sama seperti rakyat Mesir, bangsa Arab dan muslim; umat manusia keseluruhannya juga berkongsi keprihatinan yang sama tentang masa depan dunia, yang diancam konflik, wabak dan penyakit, dan para saintis merasa kasihan terhadap dunia kerana pemanasan global, kemarau dan penggurunan (desertification). Keprihatinan kami juga terhadap masa depan dunia yang ditadbir dengan polisi kuasa besar yang ingin memimpin dunia secara unilateral selama dua dekad, di mana mereka menyangka mampu mengawal dunia. Namun, mereka dikejutkan dengan darah yang mengalir dan jasad yang bergelimpangan di sebahagian dunia Islam termasuk Afganistan, Iraq, Sudan, Somalia, Lebanon dan Palestin di tambah dengan krisis ekonomi yang tidak putus-putus serta manusia yang hidup dalam kerisauan dan rasa cemas terhadap masa depan mereka dan anak-anak mereka.

Ikhwah dan akhawat,

Rakyat Mesir, bangsa Arab, Muslim dan manusia sejagat meletakkan harapan yang sangat besar kepada anda, anda –dengan izin Allah- mampu untuk menggalas tanggungjawab ini; sejarah telah membuktikan berulang kali tentang kesabaran, ketabahan, ketetapan pendirian dan keberhasilan anda walaupun banyak khabar angin yang tersebar tentang anda.

Tawarkan kepada dunia; Islam yang sebenar, Islam yang membawa toleransi dan kesederhanaan, Islam yang menghormati kepelbagaian beragama, Islam yang menggalakkan saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan manusia.

Laluilah semua jalan dan gunakan semua wasilah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada manusia dan bersungguh-sungguhlah; ”Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh” (al-Furqan:52)

Tetaplah berjihad dengan pernyataan-pernyataan, penulisan, pidato, lagu, filem dan drama, dan semua jenis seni yang terarah dan cara yang suci agar kebenaran Islam terserlah dan menolak segala bentuk syubhat. Slogan kita terdapat dalam Ayat suci: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (an-Nahl:125). Dan firman Allah lagi: ”Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut:46)

Didiklah diri anda dengan nilai dan etika yang murni, jadilah contoh buat masyarakat. Pimpinlah mereka ke jalan Allah dengan menjadi contoh yang baik dan dengan akhlak yang mantap. bekerjasamalah dengan semua pihak dalam membentuk peribadi dan menanam akhlak yang mulia.

Bekerjasamalah dengan mereka yang bekerja untuk kebaikan dan taqwa, bahkan bantulah sesiapa sahaja yang membawa kebenaran, mempertahankan iman dan memerangi kekafiran dan atheisme.

Perbetulkan dirimu dan rumahtanggamu, bersegeralah membuat kebaikan untuk membaiki masyarakat. Perhatikan nasib mereka yang ditindas di merata-rata tempat dan kembalikan hak mereka.

Kembalilah kepada Qur’an yang mulia dan Sunnah Rasulullah yang dijunjung, sirah kehidupan Rasulullah dan dan kehidupan manusia-manusia agung yang lain. Pelajari ia dan dapatkan pengajaran darinya dan perbaiki perjalanan kehidupanmu sentiasa dan sedarlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan amalmu dan bukan pada zahirmu. Pertolongan Allah sentiasa menanti, dan ianya amat dekat; ”Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (ar-Rum:5)

”Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah:105)

”Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Yusuf:21).

Benarlah kata-kata Allah yang Maha Agung.

Jumaat, 8 Januari 2010

Jom Kira....

Nak ajak semua pembaca berehat seketika sambil bermain dengan satu permainan yang saya belajar dari seorang rakan.

1. Tulis bilangan adik beradik lelaki, adik beradik perempuan dan bilangan datuk dan nenek saudara yang masih hidup.

2. Darabkan bilangan adik beradik lelaki saudara dengan 2 (jika tidak ada adik beradik lelaki, teruskan langkah di bawah)

3. Jumlah di atas, campurkan dengan 3

4. Jumlah di atas, darabkan dengan 5

5. Jumlah di atas, campurkan dengan bilangan adik beradik perempuan (jika tidak ada adik beradik perempuan, teruskan langkah di bawah)

6. Jumlah di atas, darabkan dengan 10

7. Jumlah di atas, campurkan dengan bilangan datuk dan nenek yang masih hidup (jika tidak ada, teruskan ke langkah di bawah)

8. Tolak 150 dari jumlah di atas.

9. Tuliskan jawapannya di atas kertas …. dan perhatikan

* Nombor di ruang ratus adalah bilangan adik beradik lelaki saudara
* Nombor di ruang puluh adalah bilangan adik beradik perempuan saudara
* Nombor di hujung (ruang sa kalau ikut istilah Matematik di zaman saya) adalah bilangan datuk dan nenek saudara yang masih hidup



Selasa, 5 Januari 2010

Kenyataan Rasmi ISMA Berhubung Penggunaan Nama Allah

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.

Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan) .

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.

ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).

Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:

1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.

2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.

3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA
Bandar Baru Bangi
3 Januari 2010

Isnin, 4 Januari 2010

Suasana Hari Pertama Di STAIL


Suasana di Taska STAIL

Apalah yang bermain di fikiran mereka ketika ini ya?

Perhimpunan dan taklimat awal tahun di STAIL

Barisan Murabbi STAIL sesi 2010


Hari Pertama Persekolahan

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan sesi 2010. Aku, isteri serta dua orang anak kesayangan kami iaitu Ulwan dan Nu'man keluar dari rumah lebih kurang jam 7.15 pagi. Destinasi pertama kami ialah menghantar Nu'man yang berusia dua tahun lapan bulan ke rumah pengasuhnya di Taman Seri Serdang. Sampai sahaja di sana, Nu'man seperti biasa turun dengan penuh bersemangat menuju masuk ke dalam nurseri sambil menggalas beg yang baru dibeli semalam.

Kemudian kami terus menuju ke Sekolah Tahfiz Al Islah (STAIL), tempat kerja aku dan isteri. Sebaik sahaja sampai, seperti yang aku duga jalan untuk memasuki sekolah amat sesak dengan kenderaan waris yang menghantar anak. Kebanyakannya mungkin waris baru yang mendaftar anak mereka buat pertama kali ke sini. Terima kasih kepada waris yang terus memberi kepercayaan kepada pihak STAIL untuk terus mendidik anak anda. Aku menurunkan isteriku, Muallimah Salini bt Suid di pertengahan jalan kerana kesesakan yang amat panjang. Maka terpaksa berjalanlah isteri kesayanganku. Alah...jalan sikit kadang-kadang apa salahnyakan...hehehe.

Sebaik menurunkan isteriku, aku dan anak sulung kami, Ulwan pergi ke kedai untuk sarapan. Ulwan makan dengan penuh selera pagi ini. Mungkin semangat nak masuk tadika rasanya. Maklumlah beg baru, kotak pensil baru, pensil baru dan yang lain-lainlah. Kemudian kami berdua pun kembali ke STAIL dengan membawa makanan untuk isteriku. Setelah menunggu lebih kurang setengah jam, aku dan isteri serta Ulwan keluar sebentar untuk menguruskan pendaftaran Ulwan di sebuah tadika yang baru dibuka hari ini. Kami menuju ke Sungai Dua mencari di mana letaknya Tadika Nazim Bestari yang baru dibuka oleh sahabat kami iaitu Puan Suryani.

Akhirnya setelah 15 minit, kami pun tiba di sana. Melangkah masuk sahaja ke tadika tersebut kami disambut oleh Puan Suryani yang sedang melayan empat orang pelajar. Semuanya baru mendaftar hari ini. Isteriku terus menguruskan urusan pendaftaran dengan mengisi borang. Duit pendaftaran berjumlah RM309 pun dibayar. Sebelum kami meninggalkan Tadika Nazim Bestari, Ulwan menangis hendak mengikut kami pulang. Mungkin disebabkan tadika baru dan masih belum mengenali gurunya maka dia menangis. Biasalah anak-anak. Dengan tegas kami terus meninggalkannya dalam keadaan menangis. Aku tidak mahu anak aku menjadi anak manja yang perlu dipujuk. Biarkanlah gurunya yang memujuknya.

Sepatutnya Ulwan mendaftar di Prasekolah STAIL, tempat kami bekerja. Namun dalam usaha untuk membantu seorang rakan yang baru membuka tadika tersebut, kami membuat keputusan menghantar Ulwan ke situ biarpun terpaksa mengeluarkan belanja yang agak tinggi secara bulanan. Ini juga tanda sokongan kami kepada seorang rakan yang gigih berusaha merealisasikan tertegaknya sebuah lagi tadika berunsurkan Islam. Semoga dengan penghantaran anak kami ini dan anak-anak sahabat yang lain akan memberi motivasi kepada Puan Suryani yang sememangnya berpengalaman selama enam tahun menguruskan tadika beberapa tahun dahulu di Jitra, Kedah. Semoga Allah permudahkan perjalanan Tadika Nazim Bestari.

Kami pun menuju ke STAIL bagi menyambung tugasan kami.