Rabu, 3 Februari 2010

Pemikiran Al Banna




Resolusi Konvensyen Pemikiran Al Banna (KoBanna)

Kemelut perbezaan ideologi dan kekeliruan identiti yang melanda bangsa Melayu Muslim, sebagai bangsa teras umat islam di negara ini, memerlukan satu jawaban yang mampu membawa satu penyelesaian yang menyeluruh. Penguasaan ideologi barat yang berasaskan humanisme telah berjaya mencengkam pemikiran bangsa Melayu sehingga mereka sudah tidak yakin dengan kemampuan diri dan terpaksa bergantung kepada bangsa lain. Lebih memburukan lagi apabila bangsa Melayu Muslim ini sanggup berganding bahu dengan bukan islam demi menjatuhkan bangsa Melayu Muslim yang lain. Perebutan kepada kuasa politik menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga terpaksa berkompromi dalam ideologi perjuangan mereka. Dalam masa yang sama kesempatan ini di gunakan sepenuhnya oleh bangsa lain untuk menghina orang Melayu dan menuntut segala hak kesamarataan termasuk dalam isu-isu agama.
Sebagai bangsa majoriti, masa hadapan negara amat bergantung kepada keutuhan bangsa Melayu. Maka dengan itu konvesyen ini telah mengenegahkan pemikiran Imam Hassan Al Banna dalam menentukan metod yang praktikal bagi merubah masyarakat Melayu Muslim untuk menjadi sebuah bangsa yang mulia dan berwibawa. Hasil pembentangan dan perbincangan, konvensyen ini mengemukakan resolusi-resolusi berikut :-

1. Untuk menjayakan agenda Islam yang besar ianya mestilah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang kuat. Oleh itu, selaku kaum majoriti, membangunkan semula bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan utama pemimpin negara.
2. Perpecahan antara golongan Melayu Islamis dan Melayu Nasionalis yang berpunca dari sikap kepartian yang melampau menjadi punca kelemahan bangsa. Oleh itu ia mesti di hentikan segera supaya orang Melayu tidak terpesong dari tujuan asalnya dan terjebak dalam agenda orang lain.
3. Pemikiran humanisme yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan akan melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti Kemelayuan dan Ketimurannya serta hilang jatidiri sebagai seorang yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Untuk menyekat pemikiran ini masyarakat Melayu Muslim mesti dikembalikan semula kepada pendekatan keagamaan.
4. Model Fikrah Islam Syumul Al-Banna yang merangkumi aspek akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan undang-undang terbukti telah berjaya menangkis fahaman dan ideologi Barat dan mampu membangunkan kembali jatidiri masyarakat.
5. Usaha mengubah nasib orang Melayu Islam di tanah air sendiri tidak akan membuahkan hasil jika Islam tidak diambil sebagai dasar dan falsafah. Memisahkan Melayu daripada Islam dalam konteks pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat tidak akan membawa kesejahteraan, sebaliknya keadaan akan menjadi semakin gawat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial.
6. Kekuatan jiwa merupakan kekuatan utama dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah manusia, tanpa mengenepikan ekonomi dan politik. Kesedaran rohani yang kita inginkan ialah hati yang hidup, kebangkitan perasaan dan sentimen yang sebenar, hati baru yang menyala, perasaan yang bergejolak serta roh yang bercita-cita tinggi. Semua ini mesti di tanam di dalam jiwa bangsa Melayu Muslim.
7. Dalam menilai dan menentukan sikap terhadap sesuatu isu, masyarakat Melayu Muslim mesti berpandu kepada Maqasid Syarak dengan hujjah dari nas yang sahih bukan berasaskan kepentingan kuasa politik.
8. Tahaluf muslim dengan non muslim tidak boleh membawa kepada wala’ kepada non muslim apatah lagi untuk membantu mereka bagi menjatuhkan muslim lain. Ia hanya di benarkan apabila non muslim memenuhi syarat yang di tentukan syarak.

Selasa, 2 Februari 2010

ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna

Peserta wanita ISMA Pulau Pinang sedang bersedia sebelum
memasuki Dewan Seri Sarjana
Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Rozaini Othman sedang
membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran

Jumaat malam yang lepas lebih kurang pukul 11.30 malam, kami rombongan ISMA Pulau Pinang bertolak ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa (KoBanna) di Kampus UNITEN Putrajaya. Kami berjumlah seramai 45 orang mula bergerak dengan sebuah bas dan kereta. Jelas terpampang di wajah masing-masing keterujaan mereka untuk mengetahui apa yang akan disampaikan dalam konvensyen tersebut.

Kami tiba di UNITEN pukul 5.30 pagi. Sebaik tiba masing-masing membuat persiapan diri hinggalah selesai semuanya pada pukul 7.00 pagi. Kami bersarapan nasi lemak dan air mineral di cafe UNITEN. Kemudian terus bergerak dengan bas ke Dewan Seri Sarjana dengan penuh semangat menantikan pembentangan kertas kerja konvensyen. Sebaik tiba di dewan, suasana amat sibuk dengan ribuan orang sedang berada di luar dewan bagi membuat pendaftaran. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini Othman terus membuat pendaftaran di kaunter yang disediakan. Kami diberikan beg yang mengandungi bahan-bahan konvensyen. Apabila masuk ke dalam dewan, hampir separuh dewan di sebelah bawah telah dipenuhi dengan hadirin yang datang dari seluruh Malaysia. Sasaran 3000 peserta konvensyen oleh penganjur nampak akan mencapai sasarannya.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk 'Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda'. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk 'Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia'. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk 'Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak'.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Antara peserta wanita konvensyen khusyuk menantikan
bermulanya konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen dari Pulau Pinang, Saudara
Mohd Fadzli dan Ustaz Fauzi sedang tekun membaca buku konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.