Jumaat, 2 Oktober 2009

Gempa Bumi Di Padang

Gempa Bumi di Padang yang berlaku pada Rabu 30 September 2009 telah meragut ribuan nyawa. Gempa yang menggegar hampir seluruh Sumatera Barat (Sumbar) juga telah menyebabkan ratusan bangunan runtuh menyembah bumi. Gempa pada 7.6 skala richter benar-benar telah mengejutkan seluruh penduduk dunia kerana goncangan yang kuat pada kali ini adalah gempa yang paling dahsyat pernah berlaku di Sumbar. Antara kawasan terparah ialah Pariaman.

Di dalam daerah Pariaman inilah atau tepatnya di Kampung Dalam, Campago Tinggi lahirnya kedua ibu bapa saya. Asalnya mereka dari sana sebelum berhijrah ke Malaysia pada awal 1980. Keluarga ibu ayah saya masih ramai berada di sana. Antara yang masih berada di kampung ketika ini ialah nenek saya sebelah ibu dan adik-adik ibu serta nenek dan datuk saudara kami.

Ketika berlaku kejadian gempa tersebut saya dan keluarga terutama ibu ayah saya yang berada di Pulau Pinang berada dalam keadaan tidak tenteram. Berpuluh kali kami cuba menghubungi mereka tapi tidak dapat dihubungi. Sehinggalah pada pagi tadi (2 Oktober 2009) ayah saya berjaya menghubungi adik ibu saya yang kebetulan berada di kampung balik beraya. Sebentar tadi lebih kurang pukul 12.30 tengah hari saya menghubungi Mak Inggih (panggilan untuk adik ibu yang ketiga).

Dia menyatakan bahawa semua ahli keluarga kami alhamdulillah selamat. Tidak berlaku walau sedikit kecederaan. Namun rumah-rumah banyak yang ranap menyembah bumi. Rumah nenek yang saya ziarahi pada tahun 2006 yang lalu runtuh sebahagian di bahagian belakang. Mengikut kata Mak Inggih masih lagi selamat untuk diduduki. Rumah nenek saudara yang bersebelah dengan rumah nenek hancur musnah. Rumah abang nenek yang berada di bawah bukit jauh kira-kira satu kilometer dari rumah nenek turut hancur musnah.

Sehingga kini angka korban jiwa di kampung ialah sebanyak lima orang yang kebanyakannya orang lanjut usia (wargamas). Jangkaan yang meninggal di Pariaman sahaja mencecah 1000 orang. Sehingga berita ini ditulis bekalan api di kampung masih belum ada. Bekalan air dan talian telekomunikasi telah dipulihkan.

Marilah kita semua berdoa agar mereka di sana yang kini sedang diuji oleh Allah dapat menghadapi ujian ini dengan penuh keimanan. Doakanlah agar umat Islam yang menjadi korban jiwa di sana ditempatkan bersama orang-orang soleh. Sesungguhnya ini adalah ujian yang amat dahsyat bagi mereka. Kita belum diuji sedemikian rupa. Alhamdulillah.

Insya Allah jika diberi kekuatan oleh Allah saya berhajat untuk mengumpul sumbangan kewangan terutamanya untuk dihantar ke kampung saya bagi meringankan beban penderitaan mereka ketika ini. Kepada yang berminat boleh hubungi saya di 019 5235592. Insya Allah sumbangan anda akan terus disampaikan kepada mereka. Saya berhajat pergi ke sana namun keadaan kewangan agak menghimpit ketika ini. Oleh itu sumbangan anda jikalau ada nanti akan dihantar melalui akaun bank ke sana, insya Allah.

1 ulasan:

Ontahapo berkata...

kita pakat balik sekali nanti, nak? kumput bajet dulu...