Sabtu, 20 Oktober 2012

Menanti berita gembira dari Mesir

Sesungguhnya hati saya begitu berdebar menantikan malam esok. Ini kerana, esok malam keputusan permohonan Aman Palestin kepada kerajaan Mesir untuk memasuki Gaza pada 23 Oktober akan diketahui. Saya merupakan salah seorang kakitangan Aman Palestin yang terpilih menyertai misi kali ini bersama dengan 26 yang lain termasuk pengamal media dan Dato' Noh Gadot.

Sejak dimaklumkan beberapa minggu lalu yang saya terpilih menyertai misi kali ini, hati saya begitu teruja untuk menjejakkan kaki ke Gaza. Selama ini saya hanya berceramah ke merata tempat berkaitan Gaza dan Palestin hanya berdasarkan bahan-bahan yang telah disediakan oleh pihak perunding Aman Palestin. Kini saya sendiri akan merasai suasana berada di bumi perjuangan untuk bersama-sama pejuang hebat di Gaza.  

Sudah sekian lama saya menantikan saat-saat indah ini. Namun, hingga ke hari ini jawapan positif daripada pihak kerajaan Mesir masih lagi belum diperoleh. Mungkin ini adalah ujian Allah kepada mereka yang ingin menjejakkan kaki ke bumi perjuangan ini. Sesungguhnya tiada jalan mudah dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Walau pun jawapan belum diperoleh, persiapan bagasi harus juga dilakukan. Sebaik sahaja berita gembira diterima esok malam, insya Allah saya akan berangkat dari Pulau Pinang menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin petang. Kami dijadualkan bertolak ke Kaherah pada Isnin malam, 22 Oktober 2012. 

Sepanjang berada di Gaza, kami akan dibawa ke pejabat Aman Palestin Cawangan Gaza, lawatan ke tapak-tapak projek Aman palestin, bertemu Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh dan menteri-menteri lain. Kami juga akan dibawa melihat perlaksanaan ibadah qurban di sana. 

Saya akan terus berdebar menantikan hari esok. Semoga berita gembira akan diterima, insya Allah.

Ahad, 23 September 2012

Setahu lebih terhenti.....kini ia akan bersambung

Entri terakhir saya di sini ialah pada 13 Jun 2011. Hari ini, 23 September 2012. Ini bermakna sudah setahun tiga bulan, saya tidak mengemaskini blog ini. Amat sayang sebenarnya masa setahun tiga bulan itu tidak saya pergunakan sebaiknya bagi berkongsi sesuatu dengan para pelawat dan pembaca.

Entah kenapa, istiqamah yang diharapkan untuk terus menulis seolah-olah sukar saya peroleh. Inilah mujahadah saya yang saya kategorikan GAGAL. Namun bermula saat ini, saya cuba mengubah agar saya menjadi sedikit rajin dalam menulis di sini.

'Ya Allah berikan aku kekuatan dalam menulis sesuatu yang boleh memberikan manfaat kepada aku dan para pembaca di sini. Semoga aku berjaya melawan sikap MALAS aku.'