Memaparkan catatan dengan label Bicaraku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicaraku. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Jun 2011

Sukarnya istiqamah

Istiqamah atau dalam bahasa kini, konsisten adalah sesuatu yang digalakkan di dalam Islam. Rasulullah mengajar umatnya agar melakukan perbuatan baik secara istiqamah atau berterusan. Namun untuk istiqamah atau konsisten ini merupakan suatu yang mencabar diri jika tidak diiring dengan kekuatan jiwa.

Istiqamah dalam semua perbuatan kita jika dapat dilakukan ia akan melahirkan manusia yang penuh berdisiplin. Contohnya, dalam menunaikan solat fardhu. Ramai orang menunaikan solat fardhu. Namun berapa ramai yang mampu istiqamah melakukan solat jamaah di surau atau di masjid.

Begitu juga dalam amal-amal yang lain seperti bersedekah. Adalah sesuatu yang sukar sebenarnya melatih diri menyumbang RM1 ke dalam tabung masjid pada hari Jumaat setiap minggu jika ianya tidak dipupuk dari awal.
 
Justeru, saya merasakan bahawa untuk memupuk istiqamah ini, ianya harus bermula sejak anak kecil. Ibu bapa wajar melatih anak budaya Islam dan baik sejak ia kecil. Perintahkan mereka solat awal, galakkan mereka memberikan sumbangan ke dalam tabung masjid atau sumbangan lain dengan nilai yang kecil pada peringkat awal.

Yakin dan percayalah, jika istiqamah ini adapat kita pupuk ke dalam diri kita dan anak kita dengan baik, kehidupan kita akan lebih tersusun. Semoga saya yang menulis ini mampu untuk istiqamah dalam hal ehwal ibadah dan kehidupan lainnya.

Jumaat, 18 Jun 2010

Maaf Kepada Semua Tetamu

Sudah lama saya tidak mengemaskini Bangun Insan. Sedar tak sedar sehingga ke saat saya menulis ini, sudah 2107 kali tetamu menziarahi Bangun Insan yang jarang sekali dikemaskini ini. Mengapa saya tidak mengemaskini Bangun Insan? Saya tidak punya jawapan lain selain jawapan ini, "Saya tidak dapat mendisiplinkan diri dalam menulis." Sedihnya rasa di hati. Bangun Insan hampir setiap hari diziarahi. Namun tuan rumah tidak punya sesuatu yang baharu untuk tetamunya. Insya Allah mulai saat ini, saya akan sentiasa mengemaskini Bangun Insan. Saya akan mencuba berkongsi ilmu yang ada. Berkongsi cerita saya yang tidak terkenal ini.

Antara sebab saya sudah lama tidak mengemaskini Bangun Insan ialah kerana saya lebih memberi fokus mengemaskini blog jualan saya iaitu Niaga Ilmu Budi yang bertapak di http://niagailmubudi.blogspot.com. Di samping itu juga, dalam masa yang sama, saya telah membangunkan sebuah lagi blog jualan iaitu Emak Ingin Naik Haji di tapak http://emakinginnaikhaji1.blogspot.com. Saya memberi fokus kepada blog jualan kerana saya amat minat dengan berniaga. Kini saya merasakan saya mampu menjana pendapatan dengan perniagaan 'online' ini. Insya Allah saya sedang mencuba untuk menjadi peniaga online sepenuh masa. Masih belajar banyak perkara. Saya menjemput tetamu-tetamu Bangun Insan singgah di blog jualan saya. Jika ada yang berkenan boleh membeli.

Saya rasa cukup setakat ini dulu untuk tulisan malam ini. Insya Allah saya akan menulis lagi selewatnya hari Isnin ini. Doakan saya diberi kekuatan menulis ini. Bertemu lagi, insya Allah.

Isnin, 12 April 2010

Hujung Minggu Yang Sibuk

Hujung minggu lepas adalah antara hari-hari yang agak sibuk bagi saya dan keluarga. Biarpun sibuk dan keletihan, secara peribadi saya amat gembira melalui kesibukan tersebut. Moga sibuk tersebut kerana Allah Taala dan beroleh ganjaran Ilahi, insya Allah.

Kesibukan bermula pada hari Jumaat di mana, isteri saya Ummu Ulwan (http://umulwan.blogspot.com) perlu bermalam di sekolah kerana bertugas mengendalikan perkhemahan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Tahfiz Al-Islah, tempat beliau bertugas. Maka, tugasan saya pada malam itu ialah menjaga dua hero kami iaitu Ulwan, lima tahun dan adiknya Nu'man, tiga tahun.

Keesokan harinya setelah mengambil isteri di sekolah dan menghantar pulang ke rumah, saya bergegas keluar pula ke rumah Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang, Ustaz Abdul Rahim Sudin bagi mengendalikan sesi perkongsian ilmu membina blog. Sesi perkongsian bermula pada pukul 5.30 petang dan berakhir pada pukul 7.50 malam bersama lima rakan. Kemudian kami menunaikan solat Maghrib secara berjamaah.

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya terus sahaja pulang ke rumah di Bandar Putra Bertam menghantar makanan untuk isteri dan anak-anak. Sampai di rumah sekitar jam 9.20 malam saya menukar pakaian dan keluar semula menuju ke Tadika Taqwa Bestari di Sungai Dua.

Saya ke sana bagi memenuhi jemputan memberikan pengisian Inilah Sejarah Kita (ISK) kepada adik-adik daripada beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Pulau Pinang. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) cawangan Pulau Pinang. Ceramah saya yang sepatutnya bermula jam 9.00 malam terpaksa dilewatkan kerana kelewatan saya tiba. Setelah dua jam berkongsi ISK dengan mereka saya pulang ke rumah dan sampai sekitar jam 12.30 tengah malam.

Keesokan pagi, selepas solat Subuh kami sekeluarga bergerak keluar menuju rumah ibu bapa saya di Teluk Kumbar. Tujuan ke sana untuk meletakkan anak-anak kami sementara di sana kerana kami akan mengendalikan program Online Dengan Tuhan di SMK Datuk Haji Abdul Kadir. Dari Teluk Kumbar kami terus sahaja ke Kepala Batas semula bagi menyertai rakan-rakan penggerak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pulau Pinang.

Saya berada di sana bersama rakan-rakan penggerak KRIM sejak 8.30 pagi sehinggalah jam 5.00 petang. Kami berada di sana bagi mengendalikan program Online Dengan Tuhan (ODT) bersama pelajar-pelajar tingkat satu. Slot awal saya ialah memberi ceramah Online Dengan Tuhan. Sebaik tamat program sekitar jam 5.00 petang saya dan isteri menaiki kereta menuju rumah ibu dan ayah saya.

Lebih kurang jam 9.50 malam kami bertolak ke rumah kami. Dalam perjalan pulang, saya memandu kereta dalam keadaan yang amat letih. Keletihan tersebut menyebabkan kadang-kadang saya terlelap seketika sambil memandu. Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku. Alhamdulillah saya sekeluarga tiba dengan selamatnya pada jam 10.45 malam. Masuk ke dalam rumah, kami terus tidur merehatkan mental dan fizikal yang keletihan sejak Jumaat yang lepas.

Walau pun saya keletihan melalui hujung minggu lepas namun hati dan jiwa saya puas sebenarnya kerana dapat saya gunakan sedikit masa, ruang dan usia yang Allah kurniakan ini untuk berbakti kepada agama Allah. Semoga Allah menerima apa yang saya lakukan sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Buat Ummi yang abang sayangi, doakanlah agar kita terus diberi kekuatan oleh Allah menyebarkan kalimah-Nya. Abang tidak nafikan masa kita sekeluarga untuk bersama di hujung minggu agak terbatas, namun yakin dan percayalah kita akan beroleh kebahagiaan hakiki di sana nanti.

Anak-anak abi yang abi cintai, abi harap abang dan adik akan mengerti sedikit demi sedikit apa yang abi dan ummi lakukan kini. Abi bukan sengaja tidak mahu bersama anak-anak abi pada hujung minggu. Abi keluar menjalankan tugas abi sebagai khalifah Allah menyampaikan seidikit ilmu yang ada pada abi kepada masyarakat. Semoga anak -anak abi akan membawa kibaran panji dakwah ini apabila dewasa kelak.

Nukilan Hati, 12 April 2010

Isnin, 29 Mac 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL 2010)

Isteri tersayang, Ummu Ulwan yang menurut suaminya walau pun beliau penat. Lihat apa yang beliau bawa. Buku-buku Novel Sejarah Islam karya Tuan Abdul Latip. Di hadapannya ialah adik beliau, Mohd Ridzuan, yang menjadi pemandu pelancong kami ketika berada di Kuala Lumpur....Terima kasih Wan.

Berakhir sudah PBAKL 2010 semalam, 28 Mac 2010. Sudah pasti sesiapa yang berkunjung ke sana mempunyai memori masing-masing yang tidak dapat dilupakan. Pesta buku yang berlangsung selama 10 hari itu telah mengumpulkan penerbit, pengedar, penjual, penulis, pembaca dan peminat buku daripada pelbagai golongan.
Sedang ditemuramah di atas Pentas Aktiviti PTS semasa mendapatkan
autograf Tuan Abdul Latip.

Saya berkesempatan pergi ke sana pada 27 Mac, Sabtu lepas. Setelah lama tidak mengunjungi pesta buku yang sebelum ini, saya memasang niat dan tekad akan pergi mengunjungi PBAKL 2010 ini. Saya pergi bersama isteri, adik saya dan adik ipar. Lima jam berada di dalam PWTC melihat pelbagai ragam pencinta buku. Ribuan manusia berasak mencari koleksi masing-masing untuk dibawa pulang.

Menerima hamper daripada wakil PTS kerana membeli dengan nilai RM500. PTS memberi penghargaan kepada pembeli yang membeli buku mereka dengan nilai RM500 dan ke atas. Terima kasih PTS.

Booth pertama sasaran saya ialah PTS walaupun jauh juga perjalanan hendak sampai ke booth PTS. Saya mensasarkan untuk ke booth PTS sebagai sasaran pertama adalah disebabkan hendak bertemu dengan penulis Novel islam nombor satu Malaysia, iaitu Tuan Abdul Latip. Alhamdulillah dapat bertemu dengan beliau. Sempat berbual, bergambar dan mengambil tandatangan. Terima kasih Tuan Abdul Latip. RM534.80 dilaburkan untuk membeli sembilan tajuk buku Tuan ABdul Latip berjumlah 31 buah. Dengan pembelian sebanyak itu juga saya telah diberi hamper oleh pihak PTS.

Bersama penulis nombor satu Novel Sejarah Islam, Tuan Abdul Latip. Novel Sejarah islam karya Tuan ABdul Latip WAJIB dibaca oleh semua muslimin dan muslimat.

Kami meneruskan poerjalanan menjelajah keseluruhan booth PTS mencari buku-buku yang menarik untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang. Sempat juga bertemu dengan penulis-penulis buku yang lain. Antaranya Ustaz Amal, Ustaz Haszrizal, Ummu Hani di booth Galeri Ilmu. Ustaz Mohd Ghazali Ibrahim, abang Ustaz Asri Rabbani bertemu ketika sedang berjalan mencari buku. Selebriti IKIM FM seperti Zarita juga kelihatan.

Seronok dan bangga sebenarnya apabila melihat 'selebriti' buku ini dikerumuni peminat bagi mendapatkan autograf. Jika sebelum ini, kita sering dihidangkan dengan golongan artis yang menjadi pujaan masyarakat, namun kini 'selebriti' buku juga telah menjadi 'kegilaan' masyarakat. Semoga 'menggilai' 'selebriti' buku ini akan menjadikan masyarakat lebih berilmu dan bertamadun dalam menelusuri kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Semoga PBAKL 2010 yang bari berlalu ini menjadi bukti bahawa industri buku di Malaysia sedang meningkat naik. Diharapkan masyarakat Malaysia akan menjadi generasi yang berilmu dipandu bahan-bahan buku bermanfaat oleh penulis-penulis hebat yang boleh dijadikan ikutan pembaca. Insya Allah bertemu lagi pada PBAKL 2011.

Isnin, 4 Januari 2010

Suasana Hari Pertama Di STAIL


Suasana di Taska STAIL

Apalah yang bermain di fikiran mereka ketika ini ya?

Perhimpunan dan taklimat awal tahun di STAIL

Barisan Murabbi STAIL sesi 2010


Jumaat, 27 Februari 2009

Coretan Pengalaman

Peperangan di Gaza yang bermula pada 27 Disember yang lepas telah membawa aku terjun ke dalam masyarakat dengan lebih luas. Bulan Januari dan awal Februari adalah hari-hari yang agak sibuk bagi aku daripada kebiasaan. Hampir setiap hari ada sahaja jemputan ceramah dan pameran berkaitan isu Palestin. Alhamdulillah aku bersyukur kerana Allah telah memberi aku sedikit ruang untuk aku berbakti kepada umat Islam Palestin. Semoga amal aku ini diterima Allah.

Aku berceramah dan mengadakan pameran atas tiket Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Pulau Pinang. Rakan-rakan di dalam ISMA banyak membantu aku dalam melaksanakan misi penerangan ini. Mereka banyak membantu aku dalam menyediakan bahan-bahan pameran dan menjaga kaunter jualan ketika aku berceramah. Insan yang paling setia mengikut aku ialah isteri tercinta, Salini bt Suid. Kebetulan sepanjang Januari beliau mengambil cuti tanpa gaji, maka beliau sentiasa menemani aku. Terima kasih sayang.

Sambutan yang diterima sepanjang misi memberi penerangan kepada masyarakat melalui ceramah dan pameran ini amat menggalakkan. Aku melihat masyarakat masih belum mengetahui dengan jelas isu sebenar di Palestin. Mereka akan mendengar dan melihat tayangan aku sediakan dengan penuh khusyu'. Mereka cuba memahami realiti yang berlaku di Palestin.

Selalunya sebaik selesai ceramah aku akan meminta sumbangan daripada audiens. Alhamdulillah kutipan yang didapati di seluruh tempat yang aku pergi berceramah mendapat jumlah yang besar nilainya. Sebagai contoh di Masjid Batu jumlah kutipan adalah melebihi RM3000. Sementara di UiTM Permatang Pauh jumlah yang berjaya dipungut sekitar RM4000. Rakan-rakan aku juga turut mengadakan kutipan di tempat-tempat kerja mereka terutama yang bertugas sebagai guru. Secara kasar jumlah kutipan sehingga kini ialah RM20 000.

Apa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada individu wanita yang sanggup menyumbang cincin dan rantai mereka. Kejadian ini berlaku semasa program Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH) pada 1 Februari di Dewan Milenium Kepala Batas. Seorang wanita datang menyerahkan dua bentuk cincin peribadinya dan seutas rantai mutiara kepada petugas wanita ISMA di kaunter pameran. Sementara di UiTM juga isteriku turut menerima dua bentuk cincin daripada seorang pelajar perempuan. Keempat-empat cincin itu telah dijual dan wang yang didapati berjumlah RM478. Terima kasih masyarakat.

Sesungguhnya apa yang berlaku di bumi Gaza ketika ini adalah suatu perancangn Allah. Allah hendak menguji umat Islam seluruh dunia dan mahu melihat apa yang kita akan lakukan bagi mempertahankan kesucian Baitul Maqdis. Alhamdulillah umat Islam di Pulau Pinang amnya telah cuba membantu dengan kadar kemampuan yang ada. Semoga bantuan kita semua ini akan diterima Allah sebagai amal soleh dan agar bumi suci Palestin akan bebas suatu hari nanti, insya Allah.

Akhirnya aku ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua ahli ISMA Pulau Pinang dalam melaksanakan misi ini. Tidak lupa juga kepada petugas-petugas Aman Palestin di pejabat yang terletak di Bangi kerana melayan karenah aku yang hampir setiap hari 'menyerang' mereka (Farhani terutamanya) kerana ingin mendapatkan barang-barang jualan dan bahan-bahan pameran. Terima kasih juga kepada Dr Zainurrashid Zainudin, Mejar Mohd Nadzri Musman dan Ustaz Shahruzzaman Bistamam yang menjadi guru aku pada TOT di Sg Petani tahun lepas. Ilmu anda semua amat bermanfaat.

Cincin dan rantai yang disumbangkan pada HIMMAH


Menerima sumbangan daripada Pengetua SMK Penanti

Rabu, 4 Februari 2009

Gambar-gambar Program Aman Palestin-ISMA Pulau Pinang

Para pengunjung sedang khusyu' melihat tayangan
Aman Palestin-ISMA

Kaunter pameran Aman Palestin-ISMA P Pinang
pada Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH)
anjuran gabungan NGO-NGO Islam P Pinang.
Kaunter Aman Palestin-ISMA antara yang mendapat
perhatian ramai.
Ceramah Di Bank Islam Seberang Jaya

Sedang berceramah di Auditorium A, Komtar


Pameran Di Komtar sempena program Derma Darah anjuran Kelab SUK P Pinang

Road Show Ceramah Palestin (Selamatkan Gaza)

Berikut adalah tempat-tempat yang telah dan akan saya pergi berceramah 'Selamatkan Gaza'.
3 Januari - Surau Taman Sutera, Seberang Jaya
17 Januari - Masjid Batu, Kampung Pertama
22 Januari - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Mengkuang
23 Januari - SK Mengkuang, Mengkuang dan SK Kuala Muda, Kuala Muda
29 Januari - Pameran Aman Palestin dan Ceramah di Komtar program SUK P Pinang
30 Januari - Bank Islam Malaysia Berhad, Seberang Jaya
3 Februari - SMK Mengkuang, Mengkuang
6 Februari - Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh
Alhamdulillah usaha bersama rakan-rakan dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang ini telah berjaya mengumpul hampir RM16 000 termasuk dua bentuk cincin emas yang belum dinilai lagi dan seutas rantai. Semoga Allah memberi ruang lebih banyak kepada kita untuk menyampaikan sumbangan kepada saudara kita di bumi Gaza yang sedang menderita ketika ini.

Isnin, 2 Februari 2009

Keluarga Saya



Dari kiri: Salini, Nu'man dan Ulwan

Inilah ahli keluargaku. Isteriku bernama Salini bt Suid. Beliau baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 27 pada 16 Januari yang lepas. Beliau bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Tahfiz Al Islah, Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.


Kami telah berkahwin pada 5 Disember 2004 di Surau Al Ehsan, Taman Samudera, Seri Manjung, Perak. Perkahwinan yang telah berusia empat tahun ini telah dikurniakan dua oran cahaya mata lelaki. Alhamdulillah.

Anak sulung kami diberi nama Ulwan. Sekarang ini berusia tiga tahun empat bulan. Ulwan dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang melalui proses pembedahan. Tarikh kelahiran ialah pada 11 Ramadhan 1426 Hijrah bersamaan dengan 14 Oktober 2005. Kini, Ulwan belajar di Taska Sekolah Tahfiz Al Islah. Belajar budak-budak je.

Anak kedua kami pula ialah Nu'man. Nu'man dilahirkan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 5 Jamadil Akhir 1428 Hijrah bersamaan dengan 21 Jun 2007. Kini berusia setahun lapan bulan, Nu'man diletakkan di sebuah pusat jagaan anak ketika kami keluar bekerja.
Cukup dulu setakat ini. Lain kali saya akan sambung dan ceritakan tentang diri saya pula.