Isnin, 19 Oktober 2009

Ulwan - Genap Empat Tahun Pada 14 Oktober 2009

Anak sulung kami, Ulwan b Budiyanto. Hensem tak?hehee
Gambar ni dirakamkan pada hari raya kedua di rumah keluarga
isteri di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah.

Ulwan bersama abi, ummi dan adik Nu'man. Pakaian rasmi raya tahun ni.

Ulwan berada di kiri saya sementara Nu'man berada di kanan umi.

"Inilah baju raya Ulwan tahun ni. Cantik tak?"

Menyambut ulang tahun kelahiran keempat

di Taska Sekolah Tahfiz Al Islah (STAIL) bersama

rakan-rakan serta guru-guru.

Kek hari jadi Ulwan. Menurut cikgu Ulwan, gambar Upin & Ipin

atas kek tu jadi rebutan. Begitulah hebatnya penangan Upin & Ipin.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Gempa Bumi Di Padang

Gempa Bumi di Padang yang berlaku pada Rabu 30 September 2009 telah meragut ribuan nyawa. Gempa yang menggegar hampir seluruh Sumatera Barat (Sumbar) juga telah menyebabkan ratusan bangunan runtuh menyembah bumi. Gempa pada 7.6 skala richter benar-benar telah mengejutkan seluruh penduduk dunia kerana goncangan yang kuat pada kali ini adalah gempa yang paling dahsyat pernah berlaku di Sumbar. Antara kawasan terparah ialah Pariaman.

Di dalam daerah Pariaman inilah atau tepatnya di Kampung Dalam, Campago Tinggi lahirnya kedua ibu bapa saya. Asalnya mereka dari sana sebelum berhijrah ke Malaysia pada awal 1980. Keluarga ibu ayah saya masih ramai berada di sana. Antara yang masih berada di kampung ketika ini ialah nenek saya sebelah ibu dan adik-adik ibu serta nenek dan datuk saudara kami.

Ketika berlaku kejadian gempa tersebut saya dan keluarga terutama ibu ayah saya yang berada di Pulau Pinang berada dalam keadaan tidak tenteram. Berpuluh kali kami cuba menghubungi mereka tapi tidak dapat dihubungi. Sehinggalah pada pagi tadi (2 Oktober 2009) ayah saya berjaya menghubungi adik ibu saya yang kebetulan berada di kampung balik beraya. Sebentar tadi lebih kurang pukul 12.30 tengah hari saya menghubungi Mak Inggih (panggilan untuk adik ibu yang ketiga).

Dia menyatakan bahawa semua ahli keluarga kami alhamdulillah selamat. Tidak berlaku walau sedikit kecederaan. Namun rumah-rumah banyak yang ranap menyembah bumi. Rumah nenek yang saya ziarahi pada tahun 2006 yang lalu runtuh sebahagian di bahagian belakang. Mengikut kata Mak Inggih masih lagi selamat untuk diduduki. Rumah nenek saudara yang bersebelah dengan rumah nenek hancur musnah. Rumah abang nenek yang berada di bawah bukit jauh kira-kira satu kilometer dari rumah nenek turut hancur musnah.

Sehingga kini angka korban jiwa di kampung ialah sebanyak lima orang yang kebanyakannya orang lanjut usia (wargamas). Jangkaan yang meninggal di Pariaman sahaja mencecah 1000 orang. Sehingga berita ini ditulis bekalan api di kampung masih belum ada. Bekalan air dan talian telekomunikasi telah dipulihkan.

Marilah kita semua berdoa agar mereka di sana yang kini sedang diuji oleh Allah dapat menghadapi ujian ini dengan penuh keimanan. Doakanlah agar umat Islam yang menjadi korban jiwa di sana ditempatkan bersama orang-orang soleh. Sesungguhnya ini adalah ujian yang amat dahsyat bagi mereka. Kita belum diuji sedemikian rupa. Alhamdulillah.

Insya Allah jika diberi kekuatan oleh Allah saya berhajat untuk mengumpul sumbangan kewangan terutamanya untuk dihantar ke kampung saya bagi meringankan beban penderitaan mereka ketika ini. Kepada yang berminat boleh hubungi saya di 019 5235592. Insya Allah sumbangan anda akan terus disampaikan kepada mereka. Saya berhajat pergi ke sana namun keadaan kewangan agak menghimpit ketika ini. Oleh itu sumbangan anda jikalau ada nanti akan dihantar melalui akaun bank ke sana, insya Allah.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Perutusan Presiden ISMA Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-52

“”Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Pengalaman Silam”
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وخير رسول أرسل وجعلنا خير أمة أخرجت للناس، وأشهد أن محمداً عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة وجاهد في الله خير جهاده ما ترك أمراً يقربنا لله إلا قربنا منه، نزل الله عليه الكتاب بيناً وهدى وبشرى للمسلمين، اللهم صلي وسلم وبارك على هذا النبي الكريم وعلى آله وصحابته أما بعد

Siapa ISMA?

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ditubuhkan pada 7 Julai 1997. Ia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang begiat cergas dalam usaha-usaha dakwah dan pendidikan dengan slogan “Membina Generasi Harapan”.

Melalui usah-usaha tersebut, ISMA menuju ke arah membina semula generasi Islam yang melaksanakan dalam diri mereka nilai-nilai Islam dalam segenap lapangan hidup; atau dengan kata lain membina semula jatidiri dan keperibadian umat. Salah satu nilai yang menjadi landasan dalam perjuangan ISMA ialah nilai kesetiaan bangsa.

Konsep “bekerja untuk Allah”, telah menjadikan usaha memartabatkan maruah dan kemuliaan bangsa sebagai jihad yang tinggi dan mulia di sisi ISMA. Ahli ISMA mengabadikan kehidupan peribadi mereka demi mengembalikan kegemilangan silam.

Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke 52
Warga ISMA bersyukur kepada Allah s.w.t kerana pada tahun ini, tahun 2009, buat julung-julung kalinya ISMA dapat menganjurkan secara rasmi Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara kali ke-52.

Sambutan yang diadakan dengan cara yang tersendiri ini dilancarkan sebagai kaedah untuk menyampaikan suara hati rakyat terhadap kekusutan yang sedang dihadapi oleh umat kini. Keserabutan itu berpunca daripada kelunturan yang menyeluruh dari aspek kesetiaan bangsa.

ISMA mahu mengajak umat Islam seluruhnya untuk memperbaharui keteguhan hati dalam mepertahankan identiti bangsa mereka. Justeru itu, ISMA memilih tema yang sangat menarik yang berbunyi;

“Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam”.

Sebab Tema Ini Dipilih
Kesetiaan ialah keteguhann hati. Kesetiaan bangsa yang dimaksudkan di sini ialah keikhlasan, kejujuran dan keteguhan hati terhadap agenda bangsa yang merupakan misi perjuangan, sebab wujud dan alasan kelangsungannya.

Mari kita kembali kepada asal intima’ (penggabungan) kita sebagai Melayu Muslim. Sebuah bangsa berdaulat tegak berdiri semenjak ribuan tahun yang lalu; yang telah menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang dengan risalahnya.

Kenapa hari ini kita menjadi terumbang-ambing tanpa risalah dan tanpa haluan?

Ini kerana, kita telah lupa asal-usul diri kita, kita menjadi bangsa tanpa identiti, menjadi umat yang mengikut langkah umat yang lain. Kita hilang jati diri kita sendiri.

نحن على ملة غير الذى نتنحل

كلام النبيين كلامنا و أفعال اهل الجاهلية نفعل

Kita berada atas satu ajaran bukan dari sumber ambilan kita

kalam nabi-nabi adalah kalam kita, tetapi perbuatan ahli jahiliyyah yang kita lakukan

(Penyair Arab Syauqi)

Islam telah menjadikan kita bangsa yang mulia, mempunyai matlamat kewujudan dan memiliki risalah kepada manusia. Islam memberikan kita sebab kelangsungan dan tangga menuju kecemerlangan. Sejarah telah mensebatikan Islam dan Melayu dan ia tidak mungkin dapat dipisahkan.

Proses normalisasi dengan kehidupan liberal dan plural menjadikan kita lupa identiti, lupa risalah dan juga lupa misi kita sebagai khaira umah (umat terbaik); misi sebagai syuhada’ (saksi) ke atas manusia. Inilah punca segala penyakit dan permulaan kepada keruntuhan.

Justeru itu, ISMA menyeru: Ayuh kita kembali kepada diri kita, bertaubat dengan taubat nasuha.

نحن قوم أعزنا الله بالاسلام فمهما نبتغى العزة بغير ما أعزنا الله اذلنا الله

Kita adalah kaum yang diberikan kemuliaan dengan Islam, selama kita mencari kemuliaan dengan selain daripadanya kita [akan] dihina oleh Allah.

ISMA menyeru semua untuk kembali kepada kesetiaan, keteguhan hati, kesatuan dan kebenaran intima’.

Bahkan kehinaan bukan berhenti setakat itu, bahkan kita telah menjadi habuan kepada pemangsa sekitar kita.

يوشك الأمم أن تتداعى عليكم ، كما تتداعى الآكلة إلى قصعتها ، فقال قائل : ومن قلة بنا نحن يومئذ؟ ! قال : بل أنتم يومئذ كثير ، ولكنكم غثاء كغثاء السيل ، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم ، وليقذفن في قلوبكم الوهن ، قال قائل : يا رسول الله ! وما الوهن ؟ ! قال : حب الدنيا ، وكراهية الموت .

Kamu akan dikerumuni oleh umat manusia seperti anai-anai mengerumuni makanannya. Bertanya seseorang: Adakah ia disebabkan bilangan kami sedikit pada waktu itu? Rasulullah s.a.w. menjawab: Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seumpama buih di laut. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa takut terhadapmu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seseorang bertanya: Apakah itu ‘wahan’, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Cintakan dunia dan bencikan kematian.”

(Hadis Sahih: Misykah al-Masobih, Albani)

Demikianlah, kita hilang keperibadian dan jatidiri. Setiap kita berputar pada kehidupan sendiri, individualistik, berputar seperti debu-debu ditiup angin mengelilingi kepentingan individu, atau kumpulan; mengorbankan kepentingan umat dan agenda nasional. Bahkan agenda-agenda umat kita jadikan tukaran dalam dagangan perebutan kuasa politik.

Tiada lagi kepercayaan sesama sendiri. Kawan bertukar musuh dan musuh bertukar kawan, silih berganti setiap kali musim berputar.

Lebih teruk lagi apbila masing-masing mengambil orang kafir sebagai kawan yang setia untuk melawan muslim yang lain.

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Aali Imran: 118)

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Aali Imran: 28)


ISMA menyeru umat Islam khususnya umat Melayu untuk kembali kepada diri mereka dan memartabatkan kesetiaan bangsa yang telah terhakis.

Ambil pengajaran dari pengalaman lalu, setiap kali kesetiaan kita tinggi maka ketika itu kita cemerlang dan setiap kali kesetiaan bangsa ini lemah, maka ketika itu kita menjadi habuan musuh.

Fikir-fikir dan nilai-nilaikan.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman

Presiden,

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)


Surat Terbuka Kepada Menteri Besar Selangor

6 Ogos 2009

Y.A.B. TAN SRI DATO’ ABD KHALID BIN IBRAHIM,
MENTERI BESAR SELANGOR

Pejabat Menteri Besar Selangor,
Tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40503 Shah Alam

Assalamualaikum wbt,
Y.A.B Tan Sri,

MEMARTABATKAN KEMULIAAN ISLAM

Kami merujuk kepada perkara di atas dan peristiwa yang melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor tentang isu arak.

Bagi pihak Pertubuhan, kami amat memandang berat terhadap isu ini dan melihat campur tangan orang bukan Islam terhadap isu-isu agama Islam adalah sesuatu yang tidak wajar. Selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam, kami menganggap tindakan Exco berkenaan sudah keterlaluan dan jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan imej Islam Kerajaan Negeri Selangor. Kami berpandangan bahawa kepentingan menjaga kemuliaan Islam harus merentasi batas-batas kedudukan jawatan dalam politik dan menyanggah segala tekanan dari mana-mana parti politik.

Selaku seorang yang berpengalaman dan berwibawa, kami yakin Y.A.B. Tan Sri dapat melihat isu ini dari perspektif Islam seluruhnya, bukan pertimbangan politik semata. Kami bimbang jika tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil maka aspek-aspek agama Islam yang lain juga akan dipermainkan oleh bangsa lain. Oleh itu kami menggesa supaya Y.A.B. Tan Sri dapat mempertahankan kemuliaan agama ini dengan sebaiknya dan tidak terpengaruh dengan mainan politik golongan anti Islam.

Sekian, terima kasih.

AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

Surat ISMA Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

7 Ogos 2009

YAB TUAN LIM GUAN ENG,
KETUA MENTERI PULAU PINANG
Tingkat 28, Bangunan KOMTAR,
10503 Pulau Pinang

YAB Tuan,

BANTAHAN TERHADAP KENYATAAN YB EXCO JEFF OOI

Kami merujuk kepada perkara di atas dan kenyataan YB Jeff Ooi terhadap tindakannya mengaitkan pelaksanaan syariah dan Negara Islam sebagai sebuah perbuatan yang ekstremis.

Bagi pihak Pertubuhan, kami amat memandang berat terhadap kenyataan ini dan melihat ia sebagai satu kenyataan yang amat tidak wajar dari seorang Exco kerajaan negeri. Selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam, kami menganggap tindakan Exco berkenaan sudah keterlaluan dan ini akan menjejaskan keharmonian hubungan kaum di negara ini. Kami dengan ini membantah dengan sekeras-kerasnya kenyataan Exco berkenaan dan menuntut YAB Tuan mengambil tindakan yang tegas terhadap beliau.

Selaku seorang yang berpengalaman dan berwibawa, kami yakin YAB Tuan Guan Eng dapat melihat isu ini dari perspektif kepentingan masyarakat seluruhnya bukan pertimbangan politik semata. Keharmonian hubungan kaum mesti dijaga dengan menghormati pelaksanaan agama setiap bangsa di negara ini. Perjuangan demokrasi tidak seharusnya menggadaikan nilai-nilai murni antara kaum. Kami bimbang jika tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil maka tindakan-tindakan negatif yang boleh mencemarkan perpaduan kaum mungkin akan diambil oleh pihak-pihak yang ingin melepaskan perasaan mereka. Oleh itu kami menggesa supaya YAB Tuan dapat menjaga nilai-nilai mulia setiap agama ini dan memastikan perpaduan kaum dapat dicapai dengan sebaiknya.

Sekian, terima kasih.


AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

FORUM Desak Jeff Ooi Mohon Maaf dan Letak Jawatan Segera

Isu Jeff Ooi yang menghina Islam masih belum selesai. Walaupun beliau menarik balik tuduhannya terhadap Jamaah Islah Malaysia (JIM), tetapi beliau tidak memohon maaf kepada umat Islam dan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Staf Ketua Menteri Pulau Pinang. Justeru itu, malam tadi Gabungan NGO-NGO Islam Pulau Pinang (FORUM) telah bermesyuarat sekali lagi bagi mendesak Jeff Ooi memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam dan meletakkan jawatan.

Dalam masa yang sama, mesyuarat juga bersetuju tindakan undang-undang diambil oleh Tuan Haji Mohd Razali Abdullah dan JIM. FORUM menyerahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk mengambil tindakan tersebut.

Isnin, 10 Ogos 2009

Beberapa Isu Umat Islam

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, umat Islam di Malaysia diuji oleh beberapa kenyataan daripada sebahagian orang bukan Islam yang amat mengguris hati umat Islam. Bermula dengan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (DAP) yang mengaitkan sebuah NGO Islam iaitu JIM sebagai ekstrimis. Jeff Ooi yang tidak berpuas hati dengan salah seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tuan Haji Razali b Abdullah telah menyatakan secara terbuka bahawa Haji Razali yang juga ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstrimis agama. Kenyataan terbuka Jeff Ooi ini telah menyebabkan umat Islam di Pulau Pinang khususnya melalui Gabungan NGO Islam Pulau Pinang (FORUM) telah menghantar satu memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Memorandum tersebut mahukan Jeff Ooi menarik semula kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka kepada JIM dan umat Islam.

Namun sehingga kini Jeff Ooi masih lagi tidak memohon maaf walau pun telah menarik semula kenyataannya. Ini menunjukkan betapa sombong dan bongkaknya Jeff Ooi ini.

Serentak dengan peristiwa itu, di Selangor berlaku pula kisah di antara Ronnie Liu (DAP) dengan PAS Selangor. Ronnie Liu dikatakan telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula arak yang telah mereka rampas daripada sebuah premis perniagaan di Shah Alam. Arahan Ronnie Liu ini menyebabkan PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya, Dr Mohd Hasan b Ali mengeluarkan kenyataan agar jawatan Ronnie Liu dalam kerajaan negeri ditukar atau dipecat. Asas kepada kenyataan ini ialah Ronnie Liu selaku Exco tidak berhak mengganggu tugas PBT iaitu MBSA. Sehingga kini, Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa Ronnie Liu tidak akan ditukar dan arak boleh dijual di premis-premis di Selangor bergantung kepada kebijaksanaan penjual dan pembeli.

Dalam kekalutan ini terdapat pula satu peristiwa di mana, Dr Ridhuan Tee Abdullah telah dikritik oleh Pemuda DAP (DAPSY) kerana mengeluarkan kenyataan yang menyatakan tidak bersetuju memberi taraf anak sah kepada anak yang sedang dikandung oleh tunang Teoh Beng Hock. Kabinet beberapa minggu lepas setelah kematian Teoh Beng Hock menyatakan untuk membincangkan pemberian kebenaran agar anak yang sedang dikandung tunang Teoh Beng Hock dibinkan (boleh dimasukkan nama) kepada Teoh Beng Hock. Di dalam laman blog DAPSY, mereka amat menentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Ridhuan Tee. Banyak komen-komen yang diberikan oleh pembaca blog tersebut semuanya menghentam dan memaki hamun Dr Ridhuan Tee. Sekali lagi seorang umat Islam di bumi Malaysia diperlekehkan oleh bukan Islam.

Tiga peristiwa di atas pada pandangan peribadi saya boleh menunjukkan kepada kita betapa Islam di Malaysia kini seakan tidak terbela. Berapa ramaikah umat Islam yang bangkit menyatakan bantahan terhadap apa yang sedang berlaku. Kita sekarang berada pada tahap yang amat rendah bagi sebahagian golongan bukan Islam. Islam sudah tidak dihormati. Wahai umat, insaflah dan muhasabahlah diri anda agar suatu hari nanti Islam akan berjaya diletakkan di tempatnya semula seperti hadith nabi 'Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.'

Rabu, 29 Julai 2009

Siri 1: Ramadhan Semakin Hampir

Hanya tinggal 23 hari sahaja lagi sebelum Ramadhan 1430 Hijrah membuka jendelanya. Jendela yang memberikan kita masuk dengan hati yang penuh dosa untuk disucikan sebersih-bersihnya agar keluarnya kita dari jendela Ramadhan pada kali ini akan menjadikan kita manusia yang paling bersih jiwa antara insan. Namun persoalan besarnya di sini, adakah kita sudah benar-benar bersedia memasuki jendela Ramadhan ini? Apakah kita sudah mempersiapkan diri dengan persiapan yang mantap untuk menggapai lailatul qadar?

Sememangnya ramai antara kita menyedari akan kedatangan bulan yang mulia ini, namun tidak ramai antara kita yang mempersiapkan diri untuk menghadapi parjuangan di bulan Ramadhan ini. Ramai di antara kita pada hari ini menunggu masuknya Ramadhan barulah hendak pertingkatkan amalan. Sewajarnya kita mempersiapkan diri kita sebulan atau dua bulan sebelum datangnya Ramadhan agar kita memasuki Ramadhan dengan semangat ibadah yang meluap-luap.

Cuba kita perhatikan sebuah pasukan bola sepak yang ingin menjuarai piala dunia akan mempersiapkan pasukan yang mantap sebelum mereka bertarung di medan sebenar. Mereka akan memilih pemain yang benar-benar mantap di setiap posisi agar mereka boleh menjuarai piala dunia tersebut. Dengan persiapan yang mantap inilah nanti mereka akan beroleh kejayaan. Inilah analogi yang boleh saya berikan untuk dikaitkan dengan persediaan kita menuju Ramadhan.

Hari ini sepatutnya kita sudah pertingkatkan amalan-amalan fardhu dan menambah amalan-amalan sunat agar kita sudah terbiasa dengan amalan-amalan ini agar kita tidak 'letih' ketika bulan Ramadhan. Ramai muslimin dan muslimat pada hari ini bersemangat pada 10 hari pertama Ramadhan, kemudian semakin 'letih' pada hari-hari berikutnya. Kenapa? Kerana kita tidak punya pesediaan mantap. Kita tidak punya latihan tersusun sebelum memasuki bulan Ramadhan. Adakah pada hari ini kita sudah melatih diri kita untuk menghabiskan satu juzu' al quran setiap hari? Kalau ini tidak mampu kita lakukan kini, janganlah kita berangan kita boleh lakukan satu juzu' dalam bulan Ramadhan secara istiqamah sehingga berakhirnya Ramadhan.

Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya dan semua pembaca blog saya ini agar kita persiapkan diri kita dengan semantap-mantapnya agar kita ada kekuatan untuk beramal secara istiqamah sehingga berakhirnya Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum ini. Amin

Insya Allah, bersambung dalam Siri 2 minggu hadapan.

Isnin, 13 Julai 2009

Natrah @ Maria Hertogh Meninggal Dunia Di Belanda

Natrah bersama suami, Mansor Adabi

Akhbar Malaysia pada Khamis yang lalu telah menyiarkan berita bahawa Natrah @ Bertha Hertogh telah meninggal dunia di Belanda. Mungkin ramai antara kita tidak mengetahui dengan jelas apa yang sebenarnya terjadi dalam kisah Natrah @ Bertha Hertogh ini. Di sini saya sertakan sedikit kronologi peristiwa tentang Natrah @ Bertha Hertogh yang dipetik daripada laman wikipedia (http://ms.wikipedia.org/wiki/Natrah).

Susur galur

1. 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

2. Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

3. Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

4. 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

5. 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
6. September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
7. 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
8. 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
9. 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
10. 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura

11. 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

12. 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

13. 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
14. 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

15. 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

16. Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

17. 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

18. 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

19. 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.

20. Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

21. 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.

22. Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

23. Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

24. 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

25. 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

26. 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

27. Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.

28. 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

29. 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

30. 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

31. 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

32. 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

33. 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.

34. 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.

35. 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

36. 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.

37. 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.

38. 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

39. 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

40. 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans

41. 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

42. 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

43. Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu petikan]

44. Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

45. 9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rujukan

Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 hlm 20.


Maria Hertogh, pulang ke Malaysia pada 1999 berumur 63, untuk sebuah dokumentari TV Belanda De Affare

Selasa, 7 Julai 2009

Asal Usul Nama Palestin

Ia dinasabkan kepada kumpulan Palesta, satu nama tempat di Apirus, Yunani. Mereka berasal dari Semenanjung Create dan telah menduduki Gaza dan kawasan sekitarnya sekitar 1148 sebelum masihi. Mereka telah pupus sebagai kumpulan manusia tetapi namanya masih kekal sebagai satu mercu tanda kepada wilayah tersebut dan dinamakan sebagai Palestin.

Sejarawan Yunani, Herodus, adalah orang yang pertama menggunakan nama Palestin untuk kawasan Barat Laut Syria dalam bukunya yang ditulis pada 450 sebelum masihi. Dia menyebutkan bahawa perkataan Palestin bermakna orang asing iaitu kumpulan badwi asing, mungkin ia adalah kata terbitan daripada perkataan 'falas' yang berasal daripada bahasa 'as sami' yang bermakna berpindah. Orang Rom telah mempopularkan nama ini dengan perantaraan merekalah penggunaan nama Palestin telah tersebar ke Barat.

Dipetik daripada buku 'Baitul Maqdis Kesucian Yang Dipertahankan' oleh Hj Mohd Hanif b Hj Ismail

Selasa, 16 Jun 2009

Maaf, Lama Tiada Entri

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelawat-pelawat yang telah melawat blog saya ini dan mohon maaf banyak kerana sudah lama saya tidak mengemas kini blog saya ini. Ini adalah disebabkan beberapa perkara yang agak mengekang saya. Insya Allah saya akan cuba untuk mengemas kini blog ini dengan lebih baik dan dalam kadar yang segera. Doakan agar Allah beri kekuatan untuk menulis sesuatu yang bermanfaat untuk kita umat Islam akhir zaman.

Di samping menulis artikel atau rencana sendiri, saya juga akan memetik artikel-artikel yang bersesuaian dengan blog saya ini untuk bacaan anda semua. Anda juga diminta memberikan komen untuk saya lebih memperbaiki mutu tulisan atau apa sahaja yang berkaitan dengan blog ini. Sekali lagi terima kasih kepada yang masih sudi ziarah blog ini walau lama tidak dikemaskini.

91 Tahun Kemangkatan Khalifah

Pada 10 Februari 2009 (Selasa) genaplah 91 tahun kemangkatan khalifah Islam yang ke-34, Sultan Abdul Hamid II. Baginda telah dilahirkan pada 21 September 1842 dan mangkat pada 10 Februari 1918. Baginda memerintah dari 31 ogos 1876 sehingga dipecat pada 27 April 1909. Walaupun baginda bukan Sultan bagi kerajaan Islam yang terakhir, namun baginda dianggap Khalifah terakhir kerana Khalifah yang dilantik selepas pemecatan beliau tidak lain hanyalah boneka dan tidak mempunyai kuasa.

Siapakah sebenarnya Sultan Abdul Hamid II ini?

Negarawan Jerman, Otto von Bismarck yang terkenal sebagai Chanselor besi pernah berkata “ jika kebijaksanaan ialah 100 gram, Abdulhamid memiliki 90 gram, aku memiliki 5 gram dan 5 gram selebihnya dimiliki oleh pemimpin dan tokoh politik yang lain.”

Begitu sekali negarawan ini menyanjung baginda. Apakah sumbangan baginda kepada umat Islam? Ketika baginda menaiki tahta, kerajaan Turki Uthmaniah sedang bergelut dengan krisis dalaman yang parah serta ancaman kuasa barat seperti British dan Perancis. Barat menggelar kerajaan Turki sebagai The sickman of Europe (orang sakit eropah). Ketika baginda menjadi khalifah, baginda sedar wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan Islam berdasarkan tempoh pemerintahan yang sangat singkat khalifah-khalifah yang sebelumnya. Pada ketika itu umur baginda baru 34 tahun.

Pada suatu hari banker konglomerat Yahudi, Mizray Krusow dan pemimpin Zionis, Herzl telah datang dan menawarkan kepada Sultan Abdul Hamid II:

1.Membayar kesemua hutang kerajaan Daulah Uthmaniyah.
2.Membantu menguatkan angkatan tentera laut Daulah Uthmaniyah
3.Meminjamkan 35 juta wang emas lira Uthmaniyah tanpa bunga.
Sebagai balasannya, mereka mahukan

1.Dibolehkan warga Yahudi untuk berziarah di Palestine pada bila-bila masa yang mereka inginkan dan selama mana yang mereka ingin berada di “tanah suci” itu.
2.Dibolehkan warga Yahudi mendirikan tempat tinggal berhapiran Jurusalam.
Baginda dengan tegasnya menolak mentah-mentah permintaan ini. Malah langsung tidak mahu berjumpa dengan mereka. Baginda hanya menghantar wakilnya untuk berjumpa dengan orang Yahudi itu.

“Sampaikan kepada Yahudi yang tidak sopan itu bahawa hutang Uthmani bukanlah sebuah hal yang memalukan, Perancis juga memiliki hutang dan hutang tersebut tidak mempengaruhi negara itu. Jurusalam menjadi sebahagian dari tanah Muslim sejak Umar Bin Khattab membebaskan kota tersebut dan aku tidak akan pernah mahu menanggung beban sejarah memalukan dengan menjual tanah suci kepada Yahudi dan menghianati tanggungjawab dan kepercayaan dari kaumku. Silakan Yahudi itu menyimpan wang mereka, dan Uthmani tidak akan pernah mahu berlindung di sebalik benteng yang dibuat dari wang musuh-musuh Islam”.

Namun Yahudi tidak menyerak kalah, pada tahun yang sama 1901, pengasas gerakan Zionisme, Theodore Hertzl sekali lahi mengunjungi Istanbul untuk bertemu dengan Sultan Abdul Hamid II. Sekali lagi baginda menolak untuk berjumpa. Baginda hanya mengutuskan perdana menteri.

“ Sampaikan kepada Dr. Hertzl untuk tidak mengambil langkah lebih jauh lagi dalam projeknya ini. Aku tidak akan memberikan sejengkal pun tanah dari wilayah Palestine kerana memang tanah ini bukan milikku, tanah ini milik Daulah Islam. Daulah Islam yang telah mengobarkan jihadny demi untuk penggabungan wilayah ini, dan mereka telah mengaliri tanah ini dengan darah mereka. Silakan Yahudi menyimpan kembali wang mereka. Jika khalifah Islam suatu hari nanti berhasil dihancurkan, mereka boleh mengambil tanah palestin dengan percuma. Tapi selama aku masih hidup, aku lebih memilih menusukkan pedang ke dalam tubuhku daripada harus melihat tanah Palestine dipotong dan dilepaskan dari Khilafah Islam. Ini adalah suatu hal yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai memotong tubuh sendiri sementara ia masih hidup”.

Sejak daripada itu Yahudi mula berpakat dengan Inggeris untuk menjatuhkan kerajaan Islam dan merampas tanah Palestine. Namun benar kata baginda ia tidak berlaku sementara baginda masih hidup.

Baginda sedar hanya kesatuan umah yang akan berjaya menyelamatkan Islam. Baginda membina landasan keretapi Hijaz. Jaringan itu terbentang dari Damaskus ke Madinah dan dari Aqaba ke Maan (India). Banyak sarjana dari Indonesia, Afrika, dan India dibawa ke Turki untuk projek-projek pembangunan institusi pendidikan dan pembangunan masjid-masjid di seluruh wilayah Daulah.

Dakwah Sultan Abdul Hamid II turut sampai ke tanah Melayu. Namanya sering disebut dalam bacaan doa sewaktu kerajaan Islam berada dalam keadaan retak menanti belah. Baginda menghantar Muhammad Kamil Bey sebagai duta pan Islamism ke kepulauan Melayu. Malangnya nasib Muhammad Kamil Bey tidak begitu baik kerana beliau dijatuhkan hukuman gantung di Mnyamar oleh British kerana dakwaan cuba mengancam kuasa koloni.

Seruan Pan Islamism turut sampai ke negeri Jepun. Maharaja Jepun, Mutsuhito Meiji (1867-1912) telah menghantar jemputan kepada Sultan Abdul Hamid agar mengutuskan mubaligh Islam ke Jepun. Maharaja Mutuhito itu menulis:

“Kita berdua adalah maharaja empayar Timur. Adalah menjadi kemahuan dan keperluan masyarakat kita untuk saling mengenal dan berhubung baik. Aku melihat kuasa koloni Barat menghantar pendakwah-pendakwah mereka ke tanah airku, tetapi aku tidak bertemu dengan mubaligh agamamu, Islam. Hantarlah mereka ke tanah air ini agar pelajaran agamamu dapat membina hubungan moral antara engkau dan aku”

Semoga Allah memasukkan baginda ke dalam syurga. Al Fatihah.

Dipetik daripada www.ismakedah.wordpress.com

Jumaat, 27 Februari 2009

Coretan Pengalaman

Peperangan di Gaza yang bermula pada 27 Disember yang lepas telah membawa aku terjun ke dalam masyarakat dengan lebih luas. Bulan Januari dan awal Februari adalah hari-hari yang agak sibuk bagi aku daripada kebiasaan. Hampir setiap hari ada sahaja jemputan ceramah dan pameran berkaitan isu Palestin. Alhamdulillah aku bersyukur kerana Allah telah memberi aku sedikit ruang untuk aku berbakti kepada umat Islam Palestin. Semoga amal aku ini diterima Allah.

Aku berceramah dan mengadakan pameran atas tiket Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Pulau Pinang. Rakan-rakan di dalam ISMA banyak membantu aku dalam melaksanakan misi penerangan ini. Mereka banyak membantu aku dalam menyediakan bahan-bahan pameran dan menjaga kaunter jualan ketika aku berceramah. Insan yang paling setia mengikut aku ialah isteri tercinta, Salini bt Suid. Kebetulan sepanjang Januari beliau mengambil cuti tanpa gaji, maka beliau sentiasa menemani aku. Terima kasih sayang.

Sambutan yang diterima sepanjang misi memberi penerangan kepada masyarakat melalui ceramah dan pameran ini amat menggalakkan. Aku melihat masyarakat masih belum mengetahui dengan jelas isu sebenar di Palestin. Mereka akan mendengar dan melihat tayangan aku sediakan dengan penuh khusyu'. Mereka cuba memahami realiti yang berlaku di Palestin.

Selalunya sebaik selesai ceramah aku akan meminta sumbangan daripada audiens. Alhamdulillah kutipan yang didapati di seluruh tempat yang aku pergi berceramah mendapat jumlah yang besar nilainya. Sebagai contoh di Masjid Batu jumlah kutipan adalah melebihi RM3000. Sementara di UiTM Permatang Pauh jumlah yang berjaya dipungut sekitar RM4000. Rakan-rakan aku juga turut mengadakan kutipan di tempat-tempat kerja mereka terutama yang bertugas sebagai guru. Secara kasar jumlah kutipan sehingga kini ialah RM20 000.

Apa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada individu wanita yang sanggup menyumbang cincin dan rantai mereka. Kejadian ini berlaku semasa program Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH) pada 1 Februari di Dewan Milenium Kepala Batas. Seorang wanita datang menyerahkan dua bentuk cincin peribadinya dan seutas rantai mutiara kepada petugas wanita ISMA di kaunter pameran. Sementara di UiTM juga isteriku turut menerima dua bentuk cincin daripada seorang pelajar perempuan. Keempat-empat cincin itu telah dijual dan wang yang didapati berjumlah RM478. Terima kasih masyarakat.

Sesungguhnya apa yang berlaku di bumi Gaza ketika ini adalah suatu perancangn Allah. Allah hendak menguji umat Islam seluruh dunia dan mahu melihat apa yang kita akan lakukan bagi mempertahankan kesucian Baitul Maqdis. Alhamdulillah umat Islam di Pulau Pinang amnya telah cuba membantu dengan kadar kemampuan yang ada. Semoga bantuan kita semua ini akan diterima Allah sebagai amal soleh dan agar bumi suci Palestin akan bebas suatu hari nanti, insya Allah.

Akhirnya aku ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua ahli ISMA Pulau Pinang dalam melaksanakan misi ini. Tidak lupa juga kepada petugas-petugas Aman Palestin di pejabat yang terletak di Bangi kerana melayan karenah aku yang hampir setiap hari 'menyerang' mereka (Farhani terutamanya) kerana ingin mendapatkan barang-barang jualan dan bahan-bahan pameran. Terima kasih juga kepada Dr Zainurrashid Zainudin, Mejar Mohd Nadzri Musman dan Ustaz Shahruzzaman Bistamam yang menjadi guru aku pada TOT di Sg Petani tahun lepas. Ilmu anda semua amat bermanfaat.

Cincin dan rantai yang disumbangkan pada HIMMAH


Menerima sumbangan daripada Pengetua SMK Penanti

Rabu, 11 Februari 2009

Rabu, 4 Februari 2009

Gambar-gambar Program Aman Palestin-ISMA Pulau Pinang

Para pengunjung sedang khusyu' melihat tayangan
Aman Palestin-ISMA

Kaunter pameran Aman Palestin-ISMA P Pinang
pada Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH)
anjuran gabungan NGO-NGO Islam P Pinang.
Kaunter Aman Palestin-ISMA antara yang mendapat
perhatian ramai.
Ceramah Di Bank Islam Seberang Jaya

Sedang berceramah di Auditorium A, Komtar


Pameran Di Komtar sempena program Derma Darah anjuran Kelab SUK P Pinang

Road Show Ceramah Palestin (Selamatkan Gaza)

Berikut adalah tempat-tempat yang telah dan akan saya pergi berceramah 'Selamatkan Gaza'.
3 Januari - Surau Taman Sutera, Seberang Jaya
17 Januari - Masjid Batu, Kampung Pertama
22 Januari - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Mengkuang
23 Januari - SK Mengkuang, Mengkuang dan SK Kuala Muda, Kuala Muda
29 Januari - Pameran Aman Palestin dan Ceramah di Komtar program SUK P Pinang
30 Januari - Bank Islam Malaysia Berhad, Seberang Jaya
3 Februari - SMK Mengkuang, Mengkuang
6 Februari - Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh
Alhamdulillah usaha bersama rakan-rakan dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang ini telah berjaya mengumpul hampir RM16 000 termasuk dua bentuk cincin emas yang belum dinilai lagi dan seutas rantai. Semoga Allah memberi ruang lebih banyak kepada kita untuk menyampaikan sumbangan kepada saudara kita di bumi Gaza yang sedang menderita ketika ini.

Karamah Di Bumi Gaza


Perang 22 hari di Gaza akhirnya dimenangi oleh Islam mengalahkan tentera Israel yang lebih ramai, peralatan yang canggih serta bantuan serangan dari udara dan laut. Kini usaha dan tenaga ditumpu kearah membina semula infrastruktur Gaza yang musnah. Dalam masa yang sama penduduk Gaza bercerita tentang karamah (keramat) yang berlaku sepanjang Jihad tersebut. Ini membangkit lagi keimanan dan semangat mereka untuk terus berjuang membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Yahudi dan Kuasa-kuasa Besar Dunia. Dari ceramah dalam program “Malam Selamatkan Palestin” di Masjid Sikamat, Seremban anjuran ISMA NS yang disampaikan oleh wakil Palestin, Naji As-Sarhiy dan badan-badan kebajikan yang pulang dari Gaza baru-baru ini, berikut adalah sebahagian kecil dari kisah-kisah Karamah tersebut yang sampai kepada saya :

1. Mujahideen, walaupun tangkas di medan darat, namun terdedah kepada bahaya serangan dari udara yang dikuasai 100% oleh tentera Israel. Satu ketika datang sekumpulan burung berhampiran dengan mereka. Tiba-tiba burung-burung tersebut terbang secara mengejut seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ. Melihat keputusan burung-burung tersebut, para Mujahideen juga segera meninggalkan tempat tersebut. Hanya beberapa ketika selepas itu tepat di tempat tersebut dibedil oleh tentera Yahudi.
2. Ketika para Mujahideen bertekad untuk menyerang kawasan tentera Israel, datang kabus meliputi kawasan tersebut, lalu mereka dapat mara sehingga ke tengah-tengah tentera Yahudi sedang musuh tidak dapat melihat mereka. Para mujahideen dapat menembak kesemua musuh dengan mudah.

3. Seorang doktor menceritakan ketika dia membedah seorang mujahid yang dibom oleh Yahudi hingga habis tubuh badannya dimasukki serpihan besi (sharpnel). Mujahid tersebut masih hidup kerana jantungnya tidak ditembusi serpihan besi tersebut kerana serpihan dibahagian dadanya melekat pada kitab Al-Quran yang beliau letakkan di dalam poket bajunya.

4. Enam roket dilancarkan dan berjaya membunuh musuh sedangkan ketua belum lagi mengeluarkan arahan agar roket dilancarkan. Apabila ditegur oleh ketua, para mujahideen menafikan mereka melancarkan apa-apa roket. Apabila diperiksa, memang keenam-enam roket tersebut masih ada di tempat pelancarnya.

5. Apabila seorang tentera Yahudi disoal oleh wartawan talivisyen kenapa matanya menjadi buta. Dia menjawab datang seorang memakai pakaian puti dan melemparkan pasir ke matanya.

6. Beberapa orang tentera Yahudi mengatakan bahawa tentera HAMAS yang mereka lihat memakai pakaian putih, sedangkan para Mujahideen memakai pakaian ala tentera seperti biasa.

7. Seorang wanita mengandung disahkan doktor disetiap pemeriksaan bahawa kandungannya adalah bayi perempuan. Sebaik suaminya syahid dalam Perang Gaza, pemeriksaan doktor mendapati kandungannya adalah seorang lelaki.

8. Dalam masa 22 hari peperangan, bayi-bayi lelaki yang dilahirkan lebih ramai dari kebiasaan iaitu lebih dari 3000 orang bayi lelaki. Bilangan yang terbunuh ialah seramai lebih 1300 orang (sahaja). Allah swt menggantikan dalam peperangan tersebut, mujahideen masa depan yang lebih ramai.

9. Apabila jenazah Hasan Ismail Abu Syanab yang syahid pada hari pertama serangan Yahudi ke atas Gaza, hendak dikebumikan diliang lahad ayahnya, Asy-Syahid Ismail Abu Syanab, yang syahid 5 tahun lalu, mereka dapati jasad Ismail masih dalam keadaan seperti mula-mula dikebumikan 5 tahun lalu. Kain kafannya masih putih bersih. Sila ke laman Karamah Asy-Syahid Ir. Ismail Abu Syanab di Gaza. Beliau adalah salah seorang pengasas dan pemimpin HAMAS.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda keterangan Kami di ufuk dan dalam diri-diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa Dia adalah benar. Tidakkah cukup lagi bahawa Tuhanmu, sesungguhnya Dia menyaksi segala sesuatu. “ (Fussilat:52).
Dipetik daripada blog Ustaz Halim http://www.inijalanku.wordpress.com/

Isnin, 2 Februari 2009

Keluarga Saya



Dari kiri: Salini, Nu'man dan Ulwan

Inilah ahli keluargaku. Isteriku bernama Salini bt Suid. Beliau baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 27 pada 16 Januari yang lepas. Beliau bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Tahfiz Al Islah, Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.


Kami telah berkahwin pada 5 Disember 2004 di Surau Al Ehsan, Taman Samudera, Seri Manjung, Perak. Perkahwinan yang telah berusia empat tahun ini telah dikurniakan dua oran cahaya mata lelaki. Alhamdulillah.

Anak sulung kami diberi nama Ulwan. Sekarang ini berusia tiga tahun empat bulan. Ulwan dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang melalui proses pembedahan. Tarikh kelahiran ialah pada 11 Ramadhan 1426 Hijrah bersamaan dengan 14 Oktober 2005. Kini, Ulwan belajar di Taska Sekolah Tahfiz Al Islah. Belajar budak-budak je.

Anak kedua kami pula ialah Nu'man. Nu'man dilahirkan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 5 Jamadil Akhir 1428 Hijrah bersamaan dengan 21 Jun 2007. Kini berusia setahun lapan bulan, Nu'man diletakkan di sebuah pusat jagaan anak ketika kami keluar bekerja.
Cukup dulu setakat ini. Lain kali saya akan sambung dan ceritakan tentang diri saya pula.

Selamat Datang

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pembaca. Blog banguninsan1 ini dibina dengan tujuan membangunkan nilai-nilai keinsanan mengikut al quran dan as sunnah. Semoga kita semua boleh berkongsi aspek pembangunan insan dengan lebih baik lagi. Harapannya agar blog ini boleh menjadi alternatif kepada bahan bacaan di luar sana yang tidak memberi manfaat kepada nilai keinsanan.