Isnin, 12 April 2010

Hujung Minggu Yang Sibuk

Hujung minggu lepas adalah antara hari-hari yang agak sibuk bagi saya dan keluarga. Biarpun sibuk dan keletihan, secara peribadi saya amat gembira melalui kesibukan tersebut. Moga sibuk tersebut kerana Allah Taala dan beroleh ganjaran Ilahi, insya Allah.

Kesibukan bermula pada hari Jumaat di mana, isteri saya Ummu Ulwan (http://umulwan.blogspot.com) perlu bermalam di sekolah kerana bertugas mengendalikan perkhemahan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Tahfiz Al-Islah, tempat beliau bertugas. Maka, tugasan saya pada malam itu ialah menjaga dua hero kami iaitu Ulwan, lima tahun dan adiknya Nu'man, tiga tahun.

Keesokan harinya setelah mengambil isteri di sekolah dan menghantar pulang ke rumah, saya bergegas keluar pula ke rumah Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pulau Pinang, Ustaz Abdul Rahim Sudin bagi mengendalikan sesi perkongsian ilmu membina blog. Sesi perkongsian bermula pada pukul 5.30 petang dan berakhir pada pukul 7.50 malam bersama lima rakan. Kemudian kami menunaikan solat Maghrib secara berjamaah.

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya terus sahaja pulang ke rumah di Bandar Putra Bertam menghantar makanan untuk isteri dan anak-anak. Sampai di rumah sekitar jam 9.20 malam saya menukar pakaian dan keluar semula menuju ke Tadika Taqwa Bestari di Sungai Dua.

Saya ke sana bagi memenuhi jemputan memberikan pengisian Inilah Sejarah Kita (ISK) kepada adik-adik daripada beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Pulau Pinang. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) cawangan Pulau Pinang. Ceramah saya yang sepatutnya bermula jam 9.00 malam terpaksa dilewatkan kerana kelewatan saya tiba. Setelah dua jam berkongsi ISK dengan mereka saya pulang ke rumah dan sampai sekitar jam 12.30 tengah malam.

Keesokan pagi, selepas solat Subuh kami sekeluarga bergerak keluar menuju rumah ibu bapa saya di Teluk Kumbar. Tujuan ke sana untuk meletakkan anak-anak kami sementara di sana kerana kami akan mengendalikan program Online Dengan Tuhan di SMK Datuk Haji Abdul Kadir. Dari Teluk Kumbar kami terus sahaja ke Kepala Batas semula bagi menyertai rakan-rakan penggerak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pulau Pinang.

Saya berada di sana bersama rakan-rakan penggerak KRIM sejak 8.30 pagi sehinggalah jam 5.00 petang. Kami berada di sana bagi mengendalikan program Online Dengan Tuhan (ODT) bersama pelajar-pelajar tingkat satu. Slot awal saya ialah memberi ceramah Online Dengan Tuhan. Sebaik tamat program sekitar jam 5.00 petang saya dan isteri menaiki kereta menuju rumah ibu dan ayah saya.

Lebih kurang jam 9.50 malam kami bertolak ke rumah kami. Dalam perjalan pulang, saya memandu kereta dalam keadaan yang amat letih. Keletihan tersebut menyebabkan kadang-kadang saya terlelap seketika sambil memandu. Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku. Alhamdulillah saya sekeluarga tiba dengan selamatnya pada jam 10.45 malam. Masuk ke dalam rumah, kami terus tidur merehatkan mental dan fizikal yang keletihan sejak Jumaat yang lepas.

Walau pun saya keletihan melalui hujung minggu lepas namun hati dan jiwa saya puas sebenarnya kerana dapat saya gunakan sedikit masa, ruang dan usia yang Allah kurniakan ini untuk berbakti kepada agama Allah. Semoga Allah menerima apa yang saya lakukan sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Buat Ummi yang abang sayangi, doakanlah agar kita terus diberi kekuatan oleh Allah menyebarkan kalimah-Nya. Abang tidak nafikan masa kita sekeluarga untuk bersama di hujung minggu agak terbatas, namun yakin dan percayalah kita akan beroleh kebahagiaan hakiki di sana nanti.

Anak-anak abi yang abi cintai, abi harap abang dan adik akan mengerti sedikit demi sedikit apa yang abi dan ummi lakukan kini. Abi bukan sengaja tidak mahu bersama anak-anak abi pada hujung minggu. Abi keluar menjalankan tugas abi sebagai khalifah Allah menyampaikan seidikit ilmu yang ada pada abi kepada masyarakat. Semoga anak -anak abi akan membawa kibaran panji dakwah ini apabila dewasa kelak.

Nukilan Hati, 12 April 2010

Sabtu, 10 April 2010

Perkongsian Ilmu Bina Blog

Hari ini, 10 April 2010 saya bersama sahabat-sahabat dalam Ikatan muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kepala Batas bersama-sama menjayakan perkongsian ilmu membina blog peribadi. Program ini telah dirancang lebih kurang sebulan yang lalu bermatlamatkan setiap ahli ISMA Pulau Pinang mempunyai blog peribadi. Dengan setiap ahli ISMA Pulau Pinang mempunyai blog peribadi adalah diharapkan visi dan misi ISMA akan menjalar ke dalam masyarakat dengan lebih cepat, berkesan dan efisien.


Pada minggu lepas, Sabtu beberapa orang ahli wanita ISMA Pulau Pinang telah berjaya membangunkan blog peribadi masing-masing. Kejayaan mereka menghasilkan blog sendiri amatlah bermakna bagi mereka secara peribadi. Kepuasan jelas terpancar di wajah masing-masing sebaik melihat blog buatan sendiri terpapar di alam maya.

Selepas ini diharapkan semua ahli ISMA Pulau Pinang yang telah mempunyai blog sendiri akan menggunakan ruang dan peluang ini dengan sebaik-baiknya demi melihat masyarakat Islam di Malaysia benar-benar mengabdikan diri kepada Allah s.wt.