Jumaat, 27 Februari 2009

Coretan Pengalaman

Peperangan di Gaza yang bermula pada 27 Disember yang lepas telah membawa aku terjun ke dalam masyarakat dengan lebih luas. Bulan Januari dan awal Februari adalah hari-hari yang agak sibuk bagi aku daripada kebiasaan. Hampir setiap hari ada sahaja jemputan ceramah dan pameran berkaitan isu Palestin. Alhamdulillah aku bersyukur kerana Allah telah memberi aku sedikit ruang untuk aku berbakti kepada umat Islam Palestin. Semoga amal aku ini diterima Allah.

Aku berceramah dan mengadakan pameran atas tiket Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Pulau Pinang. Rakan-rakan di dalam ISMA banyak membantu aku dalam melaksanakan misi penerangan ini. Mereka banyak membantu aku dalam menyediakan bahan-bahan pameran dan menjaga kaunter jualan ketika aku berceramah. Insan yang paling setia mengikut aku ialah isteri tercinta, Salini bt Suid. Kebetulan sepanjang Januari beliau mengambil cuti tanpa gaji, maka beliau sentiasa menemani aku. Terima kasih sayang.

Sambutan yang diterima sepanjang misi memberi penerangan kepada masyarakat melalui ceramah dan pameran ini amat menggalakkan. Aku melihat masyarakat masih belum mengetahui dengan jelas isu sebenar di Palestin. Mereka akan mendengar dan melihat tayangan aku sediakan dengan penuh khusyu'. Mereka cuba memahami realiti yang berlaku di Palestin.

Selalunya sebaik selesai ceramah aku akan meminta sumbangan daripada audiens. Alhamdulillah kutipan yang didapati di seluruh tempat yang aku pergi berceramah mendapat jumlah yang besar nilainya. Sebagai contoh di Masjid Batu jumlah kutipan adalah melebihi RM3000. Sementara di UiTM Permatang Pauh jumlah yang berjaya dipungut sekitar RM4000. Rakan-rakan aku juga turut mengadakan kutipan di tempat-tempat kerja mereka terutama yang bertugas sebagai guru. Secara kasar jumlah kutipan sehingga kini ialah RM20 000.

Apa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada individu wanita yang sanggup menyumbang cincin dan rantai mereka. Kejadian ini berlaku semasa program Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH) pada 1 Februari di Dewan Milenium Kepala Batas. Seorang wanita datang menyerahkan dua bentuk cincin peribadinya dan seutas rantai mutiara kepada petugas wanita ISMA di kaunter pameran. Sementara di UiTM juga isteriku turut menerima dua bentuk cincin daripada seorang pelajar perempuan. Keempat-empat cincin itu telah dijual dan wang yang didapati berjumlah RM478. Terima kasih masyarakat.

Sesungguhnya apa yang berlaku di bumi Gaza ketika ini adalah suatu perancangn Allah. Allah hendak menguji umat Islam seluruh dunia dan mahu melihat apa yang kita akan lakukan bagi mempertahankan kesucian Baitul Maqdis. Alhamdulillah umat Islam di Pulau Pinang amnya telah cuba membantu dengan kadar kemampuan yang ada. Semoga bantuan kita semua ini akan diterima Allah sebagai amal soleh dan agar bumi suci Palestin akan bebas suatu hari nanti, insya Allah.

Akhirnya aku ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua ahli ISMA Pulau Pinang dalam melaksanakan misi ini. Tidak lupa juga kepada petugas-petugas Aman Palestin di pejabat yang terletak di Bangi kerana melayan karenah aku yang hampir setiap hari 'menyerang' mereka (Farhani terutamanya) kerana ingin mendapatkan barang-barang jualan dan bahan-bahan pameran. Terima kasih juga kepada Dr Zainurrashid Zainudin, Mejar Mohd Nadzri Musman dan Ustaz Shahruzzaman Bistamam yang menjadi guru aku pada TOT di Sg Petani tahun lepas. Ilmu anda semua amat bermanfaat.

Cincin dan rantai yang disumbangkan pada HIMMAH


Menerima sumbangan daripada Pengetua SMK Penanti

Tiada ulasan: