Rabu, 29 Julai 2009

Siri 1: Ramadhan Semakin Hampir

Hanya tinggal 23 hari sahaja lagi sebelum Ramadhan 1430 Hijrah membuka jendelanya. Jendela yang memberikan kita masuk dengan hati yang penuh dosa untuk disucikan sebersih-bersihnya agar keluarnya kita dari jendela Ramadhan pada kali ini akan menjadikan kita manusia yang paling bersih jiwa antara insan. Namun persoalan besarnya di sini, adakah kita sudah benar-benar bersedia memasuki jendela Ramadhan ini? Apakah kita sudah mempersiapkan diri dengan persiapan yang mantap untuk menggapai lailatul qadar?

Sememangnya ramai antara kita menyedari akan kedatangan bulan yang mulia ini, namun tidak ramai antara kita yang mempersiapkan diri untuk menghadapi parjuangan di bulan Ramadhan ini. Ramai di antara kita pada hari ini menunggu masuknya Ramadhan barulah hendak pertingkatkan amalan. Sewajarnya kita mempersiapkan diri kita sebulan atau dua bulan sebelum datangnya Ramadhan agar kita memasuki Ramadhan dengan semangat ibadah yang meluap-luap.

Cuba kita perhatikan sebuah pasukan bola sepak yang ingin menjuarai piala dunia akan mempersiapkan pasukan yang mantap sebelum mereka bertarung di medan sebenar. Mereka akan memilih pemain yang benar-benar mantap di setiap posisi agar mereka boleh menjuarai piala dunia tersebut. Dengan persiapan yang mantap inilah nanti mereka akan beroleh kejayaan. Inilah analogi yang boleh saya berikan untuk dikaitkan dengan persediaan kita menuju Ramadhan.

Hari ini sepatutnya kita sudah pertingkatkan amalan-amalan fardhu dan menambah amalan-amalan sunat agar kita sudah terbiasa dengan amalan-amalan ini agar kita tidak 'letih' ketika bulan Ramadhan. Ramai muslimin dan muslimat pada hari ini bersemangat pada 10 hari pertama Ramadhan, kemudian semakin 'letih' pada hari-hari berikutnya. Kenapa? Kerana kita tidak punya pesediaan mantap. Kita tidak punya latihan tersusun sebelum memasuki bulan Ramadhan. Adakah pada hari ini kita sudah melatih diri kita untuk menghabiskan satu juzu' al quran setiap hari? Kalau ini tidak mampu kita lakukan kini, janganlah kita berangan kita boleh lakukan satu juzu' dalam bulan Ramadhan secara istiqamah sehingga berakhirnya Ramadhan.

Justeru itu, saya menyeru kepada diri saya dan semua pembaca blog saya ini agar kita persiapkan diri kita dengan semantap-mantapnya agar kita ada kekuatan untuk beramal secara istiqamah sehingga berakhirnya Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum ini. Amin

Insya Allah, bersambung dalam Siri 2 minggu hadapan.

2 ulasan:

Maiyah berkata...

assalamualaikum.. hari2 pun saya sentiasa meningkatkan lagi amalan saya tetapi bulan ramadhan ni mmg istimewa, ianya terlalu menyentuh jiwa dgn lebih kekusyukkan.

Niaga Ilmu Budi berkata...

kepada maiyah....alhamdulillah kalau saudari sentiasa mempertingkatkan amalan. semoga ramadhan kali ini bakal menjadikan kita manusia bertaqwa di sisi Allah.