Isnin, 10 Ogos 2009

Beberapa Isu Umat Islam

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, umat Islam di Malaysia diuji oleh beberapa kenyataan daripada sebahagian orang bukan Islam yang amat mengguris hati umat Islam. Bermula dengan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (DAP) yang mengaitkan sebuah NGO Islam iaitu JIM sebagai ekstrimis. Jeff Ooi yang tidak berpuas hati dengan salah seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tuan Haji Razali b Abdullah telah menyatakan secara terbuka bahawa Haji Razali yang juga ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstrimis agama. Kenyataan terbuka Jeff Ooi ini telah menyebabkan umat Islam di Pulau Pinang khususnya melalui Gabungan NGO Islam Pulau Pinang (FORUM) telah menghantar satu memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Memorandum tersebut mahukan Jeff Ooi menarik semula kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka kepada JIM dan umat Islam.

Namun sehingga kini Jeff Ooi masih lagi tidak memohon maaf walau pun telah menarik semula kenyataannya. Ini menunjukkan betapa sombong dan bongkaknya Jeff Ooi ini.

Serentak dengan peristiwa itu, di Selangor berlaku pula kisah di antara Ronnie Liu (DAP) dengan PAS Selangor. Ronnie Liu dikatakan telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula arak yang telah mereka rampas daripada sebuah premis perniagaan di Shah Alam. Arahan Ronnie Liu ini menyebabkan PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya, Dr Mohd Hasan b Ali mengeluarkan kenyataan agar jawatan Ronnie Liu dalam kerajaan negeri ditukar atau dipecat. Asas kepada kenyataan ini ialah Ronnie Liu selaku Exco tidak berhak mengganggu tugas PBT iaitu MBSA. Sehingga kini, Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa Ronnie Liu tidak akan ditukar dan arak boleh dijual di premis-premis di Selangor bergantung kepada kebijaksanaan penjual dan pembeli.

Dalam kekalutan ini terdapat pula satu peristiwa di mana, Dr Ridhuan Tee Abdullah telah dikritik oleh Pemuda DAP (DAPSY) kerana mengeluarkan kenyataan yang menyatakan tidak bersetuju memberi taraf anak sah kepada anak yang sedang dikandung oleh tunang Teoh Beng Hock. Kabinet beberapa minggu lepas setelah kematian Teoh Beng Hock menyatakan untuk membincangkan pemberian kebenaran agar anak yang sedang dikandung tunang Teoh Beng Hock dibinkan (boleh dimasukkan nama) kepada Teoh Beng Hock. Di dalam laman blog DAPSY, mereka amat menentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Ridhuan Tee. Banyak komen-komen yang diberikan oleh pembaca blog tersebut semuanya menghentam dan memaki hamun Dr Ridhuan Tee. Sekali lagi seorang umat Islam di bumi Malaysia diperlekehkan oleh bukan Islam.

Tiga peristiwa di atas pada pandangan peribadi saya boleh menunjukkan kepada kita betapa Islam di Malaysia kini seakan tidak terbela. Berapa ramaikah umat Islam yang bangkit menyatakan bantahan terhadap apa yang sedang berlaku. Kita sekarang berada pada tahap yang amat rendah bagi sebahagian golongan bukan Islam. Islam sudah tidak dihormati. Wahai umat, insaflah dan muhasabahlah diri anda agar suatu hari nanti Islam akan berjaya diletakkan di tempatnya semula seperti hadith nabi 'Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.'

1 ulasan:

Maiyah berkata...

salam.. mrk jadi taksub dgn kuasa, yg Islam sendiri menyokong DAP, tak tahulah apa nak jadi dgn dorang, Ya Allah.. lindungilah kami