Selasa, 2 Februari 2010

ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna

Peserta wanita ISMA Pulau Pinang sedang bersedia sebelum
memasuki Dewan Seri Sarjana
Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Rozaini Othman sedang
membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran

Jumaat malam yang lepas lebih kurang pukul 11.30 malam, kami rombongan ISMA Pulau Pinang bertolak ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa (KoBanna) di Kampus UNITEN Putrajaya. Kami berjumlah seramai 45 orang mula bergerak dengan sebuah bas dan kereta. Jelas terpampang di wajah masing-masing keterujaan mereka untuk mengetahui apa yang akan disampaikan dalam konvensyen tersebut.

Kami tiba di UNITEN pukul 5.30 pagi. Sebaik tiba masing-masing membuat persiapan diri hinggalah selesai semuanya pada pukul 7.00 pagi. Kami bersarapan nasi lemak dan air mineral di cafe UNITEN. Kemudian terus bergerak dengan bas ke Dewan Seri Sarjana dengan penuh semangat menantikan pembentangan kertas kerja konvensyen. Sebaik tiba di dewan, suasana amat sibuk dengan ribuan orang sedang berada di luar dewan bagi membuat pendaftaran. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini Othman terus membuat pendaftaran di kaunter yang disediakan. Kami diberikan beg yang mengandungi bahan-bahan konvensyen. Apabila masuk ke dalam dewan, hampir separuh dewan di sebelah bawah telah dipenuhi dengan hadirin yang datang dari seluruh Malaysia. Sasaran 3000 peserta konvensyen oleh penganjur nampak akan mencapai sasarannya.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk 'Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda'. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk 'Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia'. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk 'Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak'.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Antara peserta wanita konvensyen khusyuk menantikan
bermulanya konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen dari Pulau Pinang, Saudara
Mohd Fadzli dan Ustaz Fauzi sedang tekun membaca buku konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.

Tiada ulasan: