Khamis, 18 Mac 2010

Berpolitiklah Secara Bermaruah

Sudah lama laman blog saya ini tidak dikemas kini. Mohon maaf kepada rakan-rakan yang menziarahi namun tiada catatan terbaru. Insya Allah hari ini saya cuba menulis satu perkara baru yang belum pernah saya tulis dalam blog saya ini. Mulai hari ini saya cuba memberi pandangan saya berkaitan isu politik yang berlaku di sekitar kita. Saya bukanlah orang politik. Bukan juga penganalisis politik, tetapi saya berminat dengan politik dan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku.

Pasca pilihanraya Mac 2008 yang lalu telah melahirkan satu bentuk 'permainan' politik baru yang belum pernah berlaku sebelum ini. Tidak perlu rasanya saya menghuraikan apa yg berlaku pada PRU 12 yang menggugat kekuasaan UMBO dan BN. Mac 2010 genaplah sudah dua tahun rakyat Malaysia dihidangkan 'permainan' politik baru ini oleh politikus-politikus kita yang cuba memenangkan hati rakyat Malaysia.

Dalam masa dua tahun pasca PRU 12 telah memperlihatkan kepada kita jumlah yang agak ramai wakil rakyat baru daripada parti-parti yang ada di negara kita. Ada yang muda. Ada yang berusia. Ada yang berpengalaman. Ada yang langsung tidak punya pengalaman. Kita juga menyaksikan pelbagai ragam daripada kalangan politikus-politikus ini. Daripada isu tuduh menuduh sehinggalah kepada lompat parti. Semuanya ini menunjukkan politik pertentangan yang amat ketara di kalangan politikus kita biarpun musim pilihanraya sudah berakhir.

Saya amat tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) ketika hari beliau mengumumkan kabinet baru sebaik dipilih semula sebagai presiden Indonesia. Katanya, "Kecintaan saya kepada parti berakhir apabila kesetiaan saya kepada negara bermula." Maksud daripada kata-katanya ini membuktikan bagaimana SBY mahu terus membina negaranya dan mengetepikan soal perbezaan ideologo parti. Beliau membuktikan dalam lantikan kabinet beliau di mana beliau melantik kabinet dari kalangan ahli-ahli parti lain seperti PKS, Golkar, PDI-P selain partinya sendiri, Demokrat.

Namun sebaliknya yang berlaku di negara kita sehingga kini kita hanya mencari kesalahan parti yang tidak bersama dengan kita. Wahai politikus di luar sana, kami mahukan negara ini dibina bersama-sama oleh anda. Anda telah dilantik oleh rakyat untuk mentadbir negara ini. Tidak kira anda BN atau PR. Anda bertanggugjawab membina negara ini mengikut lunas-lunas demokrasi. Hentikanlah segala politiking anda. Anda berpolitik mencari salah sesama anda yang mengakibatkan rakyat di kawasan anda tidak terbela. Mereka memilih anda biar atas parti apa pun anda adalah agar anda mampu memelihara dan menjaga mereka dan kawasan mereka.

Akhir sekali, saya menyeru kepada anda politikus-politikus di luar sana biar pun tulisan saya yang kerdil ini tidak mungkin anda baca. Berpolitiklah dengan cara mendidik rakyat bukan menghasut rakyat dengan pelbagai permainan yang kotor. Berpolitiklah secara bermaruah.

Tiada ulasan: