Jumaat, 14 Ogos 2009

Surat ISMA Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

7 Ogos 2009

YAB TUAN LIM GUAN ENG,
KETUA MENTERI PULAU PINANG
Tingkat 28, Bangunan KOMTAR,
10503 Pulau Pinang

YAB Tuan,

BANTAHAN TERHADAP KENYATAAN YB EXCO JEFF OOI

Kami merujuk kepada perkara di atas dan kenyataan YB Jeff Ooi terhadap tindakannya mengaitkan pelaksanaan syariah dan Negara Islam sebagai sebuah perbuatan yang ekstremis.

Bagi pihak Pertubuhan, kami amat memandang berat terhadap kenyataan ini dan melihat ia sebagai satu kenyataan yang amat tidak wajar dari seorang Exco kerajaan negeri. Selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam, kami menganggap tindakan Exco berkenaan sudah keterlaluan dan ini akan menjejaskan keharmonian hubungan kaum di negara ini. Kami dengan ini membantah dengan sekeras-kerasnya kenyataan Exco berkenaan dan menuntut YAB Tuan mengambil tindakan yang tegas terhadap beliau.

Selaku seorang yang berpengalaman dan berwibawa, kami yakin YAB Tuan Guan Eng dapat melihat isu ini dari perspektif kepentingan masyarakat seluruhnya bukan pertimbangan politik semata. Keharmonian hubungan kaum mesti dijaga dengan menghormati pelaksanaan agama setiap bangsa di negara ini. Perjuangan demokrasi tidak seharusnya menggadaikan nilai-nilai murni antara kaum. Kami bimbang jika tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil maka tindakan-tindakan negatif yang boleh mencemarkan perpaduan kaum mungkin akan diambil oleh pihak-pihak yang ingin melepaskan perasaan mereka. Oleh itu kami menggesa supaya YAB Tuan dapat menjaga nilai-nilai mulia setiap agama ini dan memastikan perpaduan kaum dapat dicapai dengan sebaiknya.

Sekian, terima kasih.


AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

Tiada ulasan: