Jumaat, 14 Ogos 2009

Surat Terbuka Kepada Menteri Besar Selangor

6 Ogos 2009

Y.A.B. TAN SRI DATO’ ABD KHALID BIN IBRAHIM,
MENTERI BESAR SELANGOR

Pejabat Menteri Besar Selangor,
Tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40503 Shah Alam

Assalamualaikum wbt,
Y.A.B Tan Sri,

MEMARTABATKAN KEMULIAAN ISLAM

Kami merujuk kepada perkara di atas dan peristiwa yang melibatkan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor tentang isu arak.

Bagi pihak Pertubuhan, kami amat memandang berat terhadap isu ini dan melihat campur tangan orang bukan Islam terhadap isu-isu agama Islam adalah sesuatu yang tidak wajar. Selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam, kami menganggap tindakan Exco berkenaan sudah keterlaluan dan jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan imej Islam Kerajaan Negeri Selangor. Kami berpandangan bahawa kepentingan menjaga kemuliaan Islam harus merentasi batas-batas kedudukan jawatan dalam politik dan menyanggah segala tekanan dari mana-mana parti politik.

Selaku seorang yang berpengalaman dan berwibawa, kami yakin Y.A.B. Tan Sri dapat melihat isu ini dari perspektif Islam seluruhnya, bukan pertimbangan politik semata. Kami bimbang jika tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil maka aspek-aspek agama Islam yang lain juga akan dipermainkan oleh bangsa lain. Oleh itu kami menggesa supaya Y.A.B. Tan Sri dapat mempertahankan kemuliaan agama ini dengan sebaiknya dan tidak terpengaruh dengan mainan politik golongan anti Islam.

Sekian, terima kasih.

AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH ZAIK ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)

Tiada ulasan: