Isnin, 4 Januari 2010

Hari Pertama Persekolahan

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan sesi 2010. Aku, isteri serta dua orang anak kesayangan kami iaitu Ulwan dan Nu'man keluar dari rumah lebih kurang jam 7.15 pagi. Destinasi pertama kami ialah menghantar Nu'man yang berusia dua tahun lapan bulan ke rumah pengasuhnya di Taman Seri Serdang. Sampai sahaja di sana, Nu'man seperti biasa turun dengan penuh bersemangat menuju masuk ke dalam nurseri sambil menggalas beg yang baru dibeli semalam.

Kemudian kami terus menuju ke Sekolah Tahfiz Al Islah (STAIL), tempat kerja aku dan isteri. Sebaik sahaja sampai, seperti yang aku duga jalan untuk memasuki sekolah amat sesak dengan kenderaan waris yang menghantar anak. Kebanyakannya mungkin waris baru yang mendaftar anak mereka buat pertama kali ke sini. Terima kasih kepada waris yang terus memberi kepercayaan kepada pihak STAIL untuk terus mendidik anak anda. Aku menurunkan isteriku, Muallimah Salini bt Suid di pertengahan jalan kerana kesesakan yang amat panjang. Maka terpaksa berjalanlah isteri kesayanganku. Alah...jalan sikit kadang-kadang apa salahnyakan...hehehe.

Sebaik menurunkan isteriku, aku dan anak sulung kami, Ulwan pergi ke kedai untuk sarapan. Ulwan makan dengan penuh selera pagi ini. Mungkin semangat nak masuk tadika rasanya. Maklumlah beg baru, kotak pensil baru, pensil baru dan yang lain-lainlah. Kemudian kami berdua pun kembali ke STAIL dengan membawa makanan untuk isteriku. Setelah menunggu lebih kurang setengah jam, aku dan isteri serta Ulwan keluar sebentar untuk menguruskan pendaftaran Ulwan di sebuah tadika yang baru dibuka hari ini. Kami menuju ke Sungai Dua mencari di mana letaknya Tadika Nazim Bestari yang baru dibuka oleh sahabat kami iaitu Puan Suryani.

Akhirnya setelah 15 minit, kami pun tiba di sana. Melangkah masuk sahaja ke tadika tersebut kami disambut oleh Puan Suryani yang sedang melayan empat orang pelajar. Semuanya baru mendaftar hari ini. Isteriku terus menguruskan urusan pendaftaran dengan mengisi borang. Duit pendaftaran berjumlah RM309 pun dibayar. Sebelum kami meninggalkan Tadika Nazim Bestari, Ulwan menangis hendak mengikut kami pulang. Mungkin disebabkan tadika baru dan masih belum mengenali gurunya maka dia menangis. Biasalah anak-anak. Dengan tegas kami terus meninggalkannya dalam keadaan menangis. Aku tidak mahu anak aku menjadi anak manja yang perlu dipujuk. Biarkanlah gurunya yang memujuknya.

Sepatutnya Ulwan mendaftar di Prasekolah STAIL, tempat kami bekerja. Namun dalam usaha untuk membantu seorang rakan yang baru membuka tadika tersebut, kami membuat keputusan menghantar Ulwan ke situ biarpun terpaksa mengeluarkan belanja yang agak tinggi secara bulanan. Ini juga tanda sokongan kami kepada seorang rakan yang gigih berusaha merealisasikan tertegaknya sebuah lagi tadika berunsurkan Islam. Semoga dengan penghantaran anak kami ini dan anak-anak sahabat yang lain akan memberi motivasi kepada Puan Suryani yang sememangnya berpengalaman selama enam tahun menguruskan tadika beberapa tahun dahulu di Jitra, Kedah. Semoga Allah permudahkan perjalanan Tadika Nazim Bestari.

Kami pun menuju ke STAIL bagi menyambung tugasan kami.

Tiada ulasan: