Rabu, 27 Januari 2010

Hasan Al Banna Dalam Kenangan


Hasan Al-Banna dilahirkan di kota Al-Mahmudiyah, daerah Al-Buhairah, Mesir pada tahun 1906 Masehi.

Ayahnya bernama Abdul Rahman Al-Banna dan beliau adalah seorang ulama' di masa itu.

Beliau mendalami ilmu Hadits dan memiliki beberapa karya dalam ilmu hadits, khususnya kitab beliau yang terkenal iaitu "Al-Fathu Ar-Rabbani Litartibi Musnadi Al-Imam Ahmad".

Setiap hari, Abdul Rahman menjalankan profesyennya sebagai tukang jilid buku dan pembaiki jam dan disebabkan keahlian beliau dalam membaiki jam itulah, beliau diberi gelaran dengan "Assa'ati" atau (Tukang Jam).

Hasan Al-Banna tumbuh dan membesar dalam keluarga yang dianugerahkan ilmu dan kesolehan.

Beliau pertama kali menimba ilmu di Madrasah Al-Rasyad Ad-Diniyyah, kemudian di Sekolah Menengah di Al-Mahmudiyah.

Penglibatannya dalam aktiviti dakwah dan amar makruf - nahi mungkar dimulai sejak awal iaitu sewaktu masih di sekolah rendah lagi di mana ketika itu Hasan Al-Banna dengan beberapa sahabatnya mendirikan organisasi "Al-Khallaq Al-Adabiyah" (Badan sosial tentang adab dan akhlak) kemudian menubuhkan pula "Jam'iyyah Man'il Muharramat" (Badan sosial bagi mencegah perbuatan-perbuatan haram). Selain itu beliau juga mengikuti Tariqat Sufiyah Al-Hashafiyah sehingga dirinya dapat memahami akan nilai-nilai zuhud, kesucian jiwa dan tajarrud.

Pada tahun 1920, beliau diterima belajar di Darul Al-Muallimin di kota Damanhur, di mana beliau menyelesaikan hafalan Al-Qur'an di sana iaitu ketika berusia 14 tahun. Dalam usia tersebut, beliau juga terlibat dalam demonstrasi kebangsaan menentang penjajahan.

Pada tahun 1923, Hasan Al-Banna berpindah ke Kaherah untuk melanjutkan pelajarannya di Darul Ulum, Universiti Kaherah. Dari situlah wawasan baru Hasan Al-Banna mula terbuka secara luas.
Di samping menghadiri Majlis Thariqat Al-Hashafiyah, beliau juga sangat aktif di Perpustakaan Salafiyah dan majlis-majlis ilmu para ulama Al-Azhar.

Kehadiran beliau dalam berbagai majlis tersebut sentiasa memberikan motivasi kepada mereka untuk melakukan amal islami (dakwah) dengan berbagai wasilah sehingga akhirnya, pemikiran dan manhaj dakwah semakin matang dalam dirinya.

Dengan beberapa sahabatnya, Hasan Al-Banna memulakan dakwahnya di beberapa majlis ilmu, kedai-kedai kopi dan berbagai organisasi yang ada.

Pada tahun 1927, Hasan Al-Banna lulus dari Darul Ulum dengan pangkat pertama. Beliau kemudiannya dilantik menjadi guru di kota Ismailiyah berhampiran Terusan Suez di mana beliaupun pindah ke sana sambil mematangkan manhaj dakwahnya.

Di Ismailiyah, Hasan Al-Banna menjalin hubungan dengan berbagai kalangan masyarakat sehingga sampai ke masjid-masjid di mana beliau terlibat dalam usaha untuk menyelesaikan berbagai "khilafiyah" (perselisihan) yang berkembang sehingga mengancam persaudaraan Islam ketika itu.

Melalui ilmu yang mendalam dan pengalaman yang matang, Hasan Al-Banna telah menyusun manhaj dakwah yang sangat istimewa dan sekaligus mampu mengaplikasikannya di medan umum.

Maka bersama enam orang sahabat seperjuangannya, pada bulan Zulqaidah 1347 atau Mac 1928, mereka membentuk satu jamaah yang dinamakan "Ikhwanul Muslimin".

Sejak hari pertama kemunculannya, Ikhwanul Muslimin terkenal dengan program "kembali kepada keaslian Islam" melalui dua sumber utamanya, iaitu Al-Quran dan As Sunnah tanpa disibukkan oleh perkara-perkara perbezaan ranting agama.

Imam Al-Banna dalam dakwahnya, memberi penumpuan dalam mencurahkan semua potensi untuk melahirkan generasi mukmin yang memahami Islam secara benar dan menyeluruh dengan dasar pemikiran bahwa Islam itu :

1. Agama dan Negara.

2. Ibadah dan jihad.

3. Syari'ah dan Perlembagaan.

serta meliputi semua sistem yang mengatur segala aspek kehidupan manusia, termasuk di dalamnya pendidikan, sosial, ekonomi dan politik.

Ketika Ikhwanul Muslimin lahir, khususnya di Mesir, gerakan dakwah ketika itu didominasi oleh pemikiran dakwah salafiyah dan tarikat-tarikat sufi (tasawuf) sehingga pertikaian di antara dua kelompok tersebut amat meruncing sekali.

Pemikiran Islam ketika itu hampir-hampir didominasi oleh kalangan ulama Al-Azhar (Azhariyyun) . Pengaruh gerakan Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha juga sangat jelas di medan umum. Para cendekiawan dan penulis bermati-matian memberi alasan bahwa Islam tidak bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan kemajuan peradaban.

Oleh kerana itu, munculnya pemikiran Hasan Al-Banna melalui gerakan Ikhwanul Muslimin yang komprehensif itu merupakan perkara yang baru dalam pemikiran Islam ketika itu. Apalagi ketika Ikhwanul Muslimin berhasil mencetak generasi Islam baru yang kuat imannya dan cerdas pemikirannya sehingga kekuatan peradaban Barat tidak lagi terasa di bandingkan dengan peradaban Islam.

Mereka juga meyakini bahwa hakikat ilmiah (kauniyah) tidak pernah bertentangan dengan kaedah-kaedah syari'yyah yang tetap di mana faktor inilah yang menyebabkan Ikhwan berhasil menarik golongan pemuda dan ilmuan dari berbagai kalangan, termasuk kelompok Azhar. Semangat keislamanpun berhasil dibangunkan kembali oleh Ikhwan ke dalam diri mereka.

Di Ismailiyah, Al-Banna mulai membangun institusi-institusi dakwah. Ia mendirikan masjid dan pusat operasi (markaz) Ikhwan. Setelah itu ia mendirikan pula Sekolah Islam Hira' dan Sekolah Ummahatul Mukminin. Dakwahnya berkembang pesat di Ismailiyah dan kota-kota di sekitarnya.

Pada tahun 1932, Al-Banna berpindah ke Kaherah iaitu ibu negara Mesir. Perpindahannya ke Kaherah menyebabkan pusat operasi Ikhwan turut sama berpindah ke sana. Dari Kaherahlah gerakan dakwah Ikhwan dirancang oleh Al-Banna untuk dikembangkan dan disebarkan ke seluruh penjuru kota dan desa di negara Mesir dan bahkan ke seluruh dunia.

Semua buah fikiran, ilmu, tenaga, harta dan apa sahaja yang dimilikinya, ia curahkan untuk dakwah sehingga tidak terlalu lama, iaitu sekitar 20 tahun, dakwah Ikhwan sudah tersebar di seluruh pelusuk negara Mesir dan sebahagian besar dunia Islam.

Di samping penekanan kepada pembentukan generasi yang kental, Hasan Al-Banna juga menyedari betapa pentingnya media massa dalam penyebaran fikrah dan pembentukan pendapat umum. Oleh sebab itu, beliau menerbitkan majalah pertama mingguan "Al-Ikhwanul Muslimin", kemudian majalah "An Nadzir" serta berbagai buletin lain di samping pelbagai tulisan beliau yang tersebar di berbagai lembaran dan media.

Penekanan beliau terhadap :

1. Tarbiyah.

2. Penyebaran pemikiran dakwah.

3. Pembentukan jamaah dakwah yang kuat.

masih menjadi fenomena masa kini di seluruh penjuru dunia Islam.

Hasan Al-Banna berusaha semaksima mungkin agar gerakan dakwahnya tidak hanya terbatas di wilayah Mesir, malah beliau memikirkan bagaimana gerakan ini mampu menyebar ke dunia global sebagaimana Islam itu sendiri yang bersifat global.

Maka pada tahun 40an, gerakan dakwah Al-Banna sudah sampai ke semua negara Arab dan bahkan masuk ke sebahagian besar dunia Islam lain. Untuk tujuan tersebut, Al-Banna dengan secara konsisten telah mengirim delegasi dakwahnya ke berbagai penjuru dunia Islam sambil mempelajari keadaan umat Islam di sana.

Ketika itu boleh dikatakan hampir semua bumi Islam sedang dijajah oleh kaum penjajah Barat yang beragama Kristian. Dengan pengiriman delegasi-delegasi dakwahnya, boleh dikatakan hampir semua tokoh pergerakan kemerdekaan ketika itu kenal dengan Hasan Al-Banna khususnya di Arab Saudi, Pakistan, India, Indonesia, Sudan, Somalia, Syria, Jordan, Irak, Tunisia, Algeria, Moroko dan begitu juga Palestin. Bahkan pusat operasi Ikhwanul Muslimin di Kaherah telah menjadi tempat berkumpul bagi umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Hasan Al-Banna memiliki perhatian yang khusus berkait dengan masalah Palestin. Ia memiliki pandangan yang tajam dan wawasan yang luas tentang bahaya Yahudi. Sejak awal berlakunya revolusi Palestin pada tahun 1936, Ikhwanul Muslimin menerajui kebangkitan gerakan pembebasan Palestin di dunia Arab.

Ketika pasukan Arab masuk ke Palestin pada tahun 1948, para Mujahidin Ikhwan terlibat secara langsung dan mengambil peranan yang sangat penting. Mereka masuk dari sebelah barat melalui Mesir dan dari sebelah timur melalui Syria. Ramai di antara mereka yang gugur syahid.

Setelah itu pihak Barat mengeluarkan arahan kepada pemerintah Mesir untuk membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin dan menangkap para aktivisnya yang turut melakukan jihad sekembalinya mereka dari peperangan di Palestin. Perkara tersebut berlaku selepas satu gencatan senjata dan perjanjian damai yang telah ditandatangani.

Melihat perkembangan Ikhwanul Muslimin yang sangat memberangsangkan dalam berbagai lapangan kehidupan, khususnya terbentuknya generasi Mukmin baru yang hanya meyakini Islam sebagai cara hidup, golongan anti Islam antarabangsa menasihatkan pemerintah Mesir ketika itu untuk membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan cara yang amat keji dan kejam. Para tokoh dan pemudanya dipenjarakan manakala kekayaaan mereka dirampas secara zalim.

Mereka biarkan Hasan Al-Banna sendiri di luar penjara agar mudah untuk membunuhnya melalui tangan Raja Faruk di salah satu jalan di Kaherah pada 14 Rabiuts-Tsani 1368 hijriyah bertepatan dengan 12 Februari 1949.

Maka Hasan Al-Bannapun berhasil meraih cita-cita tertingginya, iaitu mati syahid di jalan Allah swt.

Sekalipun mursyid pertama Ikhwanul Muslimin, Imam Hasan Al-Banna telah terbunuh, peristiwa tragis tersebut tidak mampu menghentikan aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin itu sendiri, bahkan dengan tertangkapnya para anggota jamaah dan disekat peranan dan gerakannya, mereka tetap berusaha keluar dari ujian yang berat tersebut untuk ikut berperang melakukan penentangan terhadap penjajah Inggeris di Terusan Suez yang terjadi pada tahun 1951.

Sehingga kini gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna terus berkembang dan meluas hingga ke seluruh dunia, menyebarkan ideologi asas Islam di tengah-tengah pertentangan ideologi barat yang merosakkan.

Pada ketika ini juga kita mendapati bahwa ideologi Islam yang tertulis dalam kitab-kitab harakah karangan ahli gerakan Ikhwanul Muslimin telah banyak tersebar di tengah-tengah masyarakat, seakan-akan ia menjadi suatu kemestian dalam aktiviti dakwah Islam dengan berbagai kegiatanya dan bentuknya untuk diterapkan dalam berbagai sisi kehidupan samada dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi dan politik umat Islam sehingga berhadapan dengan musuh-musuh Islam sekalipun, tulisan-tulisan ini mendorong mereka untuk berjihad di jalan Allah untuk menegakkan kalimat Allah dan mendirikan hukum Islam di muka bumi.

Jika terdapat dalam dunia Islam ketika ini teori yang berpandangan adanya gerakan Islam yang menisbahkan dirinya pada dakwah dan tarbiyah semata-mata tanpa amal siyasi (politik) atau memberi fokus hanya kepada amal askari (ketenteraan) semata-mata tanpa tarbiyah dan dakwah untuk menuju amal siyasi; maka pandangan tersebut merupakan suatu penyimpangan dalam konsep dan pengalaman yang telah dilalui oleh gerakan Ikhwanul Muslimin.

Ini adalah kerana pandangan yang dilontarkan oleh Imam Hasan Al-Banna telah dibangunkan di atas kaidah "syumuliyah" (kesempurnaan) dan "tawazun" (keseimbangan) terutama dalam melakukan pembinaan keperibadian Islam.

Oleh itu, pembinaan Islam tidak akan terbangun kecuali terdapat di dalamnya unsur-unsur Islam seperti :

1. Aqidah dan syari'ah.

2. Akhlak dan politik.

3. Ibadah dan hukum.

4. Jihad di jalan Allah.

Di atas dasar-dasar itulah Rasulullah saw membangun Islam pada masa awal pembentukannya dan di atas asas itu pulalah bangunan Islam berdiri, sebagaimana pula yang diikuti oleh Imam Hasan Al-Banna dalam jamaah Ikhwanul Muslimin serta di atas asas-asas itu pulalah diharapkan gerakan Islam lain berjalan dan mengikuti langkah-langkah mereka.

Semoga Allah swt ampuni dosa-dosanya dan melimpahkan rahmat-Nya kepada beliau dan melapangkan jalannya menuju syurga.

Sumber : Ikhwan webnetonline

Tiada ulasan: