Isnin, 22 Mac 2010

Dedikasi Khas Malam Aspirasi Islam 3 (Untukmu Palestin)

Ustaz Budiyanto di booth Aman Palestin

Menerima Cenderahati Daripada Timbalan Pengerah HEP UiTM Pulau Pinang

Alhamdulillah.. Konsert Malam Aspirasi Islam 3 (Untukmu Palestin) selamat berlangsung pada malam semalam (19 Mac 2010). Kepuasan berprogram kelihatan di wajah kepenatan para urusetia Malam Aspirasi Islam 3 ini, selepas hampir 2 minggu bertungkus-lumus menguruskan tugasan yang telah diberi. Tahniah!!

Entri ini saya tujukan khas bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dan pihak yang terlibat dalam pembikinan program ini. Siapakah pihak yang terlibat dalam program ini? Mereka adalah....

DEDIKASI KEPADA TUHAN SEKALIAN ALAM

Syukur pada-Mu Ya Allah kerana mengizinkan program ini berjalan lancar. Kami merancang dan Kau juga merancang, tetapi perancangan Kau melebihi segalanya dan adalah yang terbaik. Terimalah usaha kami sebagai amalan yang baik bagi kami dan jadikan usaha ini untuk membantu saudara-saudara kami yang ditindas di Palestin.

DEDIKASI UNTUK AMAN PALESTIN

Terima kasih buat Ustaz Budiyanto Bin Unggun (wakil Aman Palestin negeri Pulau Pinang), kerana sudi menerima undangan kami dalam konsert ini. Kerjasama ini adalah yang pertama antara Aman Palestin dan Persatuan Kesenian Islam.

Alhamdulillah.. Ramai yang memberi sumbangan pada malam itu. Aman Palestin juga mengedarkan risalah tentang Palestin yang diterbitkan khas oleh pihak Aman Palestin. Terima kasih banyak-banyak Ustaz Budi dan Aman Palestin!!

DEDIKASI UNTUK UNIQUE

Saya menerima panggilan daripada Abg Isma Saring pada pukul 2.30 pagi, yang mereka baru sahaja sampai di kampus. Saya dan Kamarol mengambil mereka di kampus dan terus hantar mereka di hotel bajet Adamson Inn. Lepas tu buat la kerja 'gile'! Makan Char Koey Tiaw pukul 3 pagi kat warung tepi jalan. (abg Isma yang ajak yer). Itulah 'program' pertama saya bersama UNIQUE.. Hehe..

Tepat jam 9.15 malam, konsert Malam Aspirasi Islam 3 pun bermula. Agak terlewat sedikit kerana penonton masih ramai lagi yang belum hadir. Sedikit kegusaran di hati saya ketika itu kerana terjadinya masalah ini. Namun syukur kepada Allah, makin lama makin ramai dan persembahan dari abang-abang UNIQUE sangat menghiburkan.. Sangat enjoy... Superb!!

DEDIKASI BUAT KELUARGAKU YANG KU KASIHI

Saya sungguh terharu dengan pengorbanan Bapak, Mama dan adik-adik yang sudi datang di setiap konsert yang saya uruskan. Bagi saya, merekalah tetamu yang paling istimewa yang hadir dalam konsert ini. Mereka jugalah yang memberi semangat kepada saya untuk terus berjuang sehingga kini. Pembakar semangat dan jati diri!!

Kali ini sangat berlainan. Jika sebelum ini, tidak semua dari keluarga saya yang dapat hadir. Tetapi kali ini, semuanya dapat hadir, Alhamdulillah.. Syukur pada-Mu Ya Allah.. Terima kasih buat Bapak yang sanggup memandu dari rumah ke Penang. Juga kepada Mama yang melapangkan masanya untuk hadir memberi sokongan. Dan kepada adik-adikku yang 'sporting'.. Jazakallah Khairal Kathira..

DEDIKASI BUAT RAKAN-RAKANKU

Pincanglah program ini tanpa mereka. Saya seorang memang tidak mampu untuk melakukan kesemuanya. Merekalah tulang belakang yang menjayakan program ini. Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk mengucapkan terima kasih kerana pertolongan mereka sangatlah besar dan bermakna..

Sempat lagi bergambar dengan UNIQUE

Bermula 6 Mac 2010, perjumpaan pertama kami berkenaan program ini diadakan. Di situlah bermula tugasan untuk program ini. Banyak onak dan duri yang kami terima sepanjang melaksanakan tugasan tersebut. Banner lambat siap, hangin dengan orang yang susah sangat angkat telefon, dan lain-lain masalah lagi la. Fuhh.. Letih menaip.. Layan la gambar jap..

MUSLIMIN : Terima kasih Fitri selaku timbalan pengarah program yang banyak membantu dan menjadi MC, begitu juga dengan Abid yang menjadi MC dan banyak membantu untuk deal dengan Aman Palestin. Terima kasih Kamarol yang banyak membantu tentang soal teknikal dan mengedaran flyers. Juga kepada Pidin dan Auwis yang membantu UNIQUE menjual CD mereka dan juga dalam pengedaran flyers. Tidak dilupakan juga kepada Khalil yang menyediakan slide show yang power dan memberi impak! Faizul yang membantu mengedarkan flyers di Kolej Mutiara. Hazree yang membantu di Multimedia, Aiman di booth UNIQUE. Abg Mie yang hadir memberi sokongan. Abg Is yang menyiapkan Banner dan kepada Ahmad Shah dan krew-krew Rakan Pusat Islam. Juga kepada kumpulan ASRAR yang membuat persembahan.


MUSLIMAT : Terima kasih kepada Dalila sebab uruskan soal makanan di sepanjang progam. Terima kasih kepada Aina yang menguruskan "Sepetang Bersama UNIQUE". Along yang rajin mengambil gambar dan membantu mendapatkan beg-beg cenderahati. Terima kasih kepada Wani yang membantu mendapatkan bunga-bunga di pentas dan lain-lain tugasan. Fidah yang mengedarkan flyers di Kolej Mutiara. Juga kepada Krew Rakan Pusat Islam yang sudi membantu. Terima kasih.

Dah macam menulis penghargaan kat belakang kulit album pulak. Hehe.. Tapi hakikatnya terlalu ramai yang membantu secara langsung dan tidak langsung. Terima kasih kepada inidividu yang tidak sempat saya nyatakan di sini dan mungkin terlepas pandang. Untuk membaca entri lain berkenaan program ini, bolehlah klik (di sini).

Tiada yang mampu ku lakukan melainkan ucapan hikmah yang sungguh bermakna.. JAZAKALLAH KHAIRAL KATHIRA.. Semoga Allah memberi kebaikan kepada anda semua di atas pengorbanan dan sumbangan anda.. Terima kasih daun keladi.. Ada masa kita bekerja lagi.. Insya-Allah..

MALAM ASPIRASI ISLAM 3 (UNTUKMU PALESTIN)

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Khamis, 18 Mac 2010

Berpolitiklah Secara Bermaruah

Sudah lama laman blog saya ini tidak dikemas kini. Mohon maaf kepada rakan-rakan yang menziarahi namun tiada catatan terbaru. Insya Allah hari ini saya cuba menulis satu perkara baru yang belum pernah saya tulis dalam blog saya ini. Mulai hari ini saya cuba memberi pandangan saya berkaitan isu politik yang berlaku di sekitar kita. Saya bukanlah orang politik. Bukan juga penganalisis politik, tetapi saya berminat dengan politik dan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku.

Pasca pilihanraya Mac 2008 yang lalu telah melahirkan satu bentuk 'permainan' politik baru yang belum pernah berlaku sebelum ini. Tidak perlu rasanya saya menghuraikan apa yg berlaku pada PRU 12 yang menggugat kekuasaan UMBO dan BN. Mac 2010 genaplah sudah dua tahun rakyat Malaysia dihidangkan 'permainan' politik baru ini oleh politikus-politikus kita yang cuba memenangkan hati rakyat Malaysia.

Dalam masa dua tahun pasca PRU 12 telah memperlihatkan kepada kita jumlah yang agak ramai wakil rakyat baru daripada parti-parti yang ada di negara kita. Ada yang muda. Ada yang berusia. Ada yang berpengalaman. Ada yang langsung tidak punya pengalaman. Kita juga menyaksikan pelbagai ragam daripada kalangan politikus-politikus ini. Daripada isu tuduh menuduh sehinggalah kepada lompat parti. Semuanya ini menunjukkan politik pertentangan yang amat ketara di kalangan politikus kita biarpun musim pilihanraya sudah berakhir.

Saya amat tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) ketika hari beliau mengumumkan kabinet baru sebaik dipilih semula sebagai presiden Indonesia. Katanya, "Kecintaan saya kepada parti berakhir apabila kesetiaan saya kepada negara bermula." Maksud daripada kata-katanya ini membuktikan bagaimana SBY mahu terus membina negaranya dan mengetepikan soal perbezaan ideologo parti. Beliau membuktikan dalam lantikan kabinet beliau di mana beliau melantik kabinet dari kalangan ahli-ahli parti lain seperti PKS, Golkar, PDI-P selain partinya sendiri, Demokrat.

Namun sebaliknya yang berlaku di negara kita sehingga kini kita hanya mencari kesalahan parti yang tidak bersama dengan kita. Wahai politikus di luar sana, kami mahukan negara ini dibina bersama-sama oleh anda. Anda telah dilantik oleh rakyat untuk mentadbir negara ini. Tidak kira anda BN atau PR. Anda bertanggugjawab membina negara ini mengikut lunas-lunas demokrasi. Hentikanlah segala politiking anda. Anda berpolitik mencari salah sesama anda yang mengakibatkan rakyat di kawasan anda tidak terbela. Mereka memilih anda biar atas parti apa pun anda adalah agar anda mampu memelihara dan menjaga mereka dan kawasan mereka.

Akhir sekali, saya menyeru kepada anda politikus-politikus di luar sana biar pun tulisan saya yang kerdil ini tidak mungkin anda baca. Berpolitiklah dengan cara mendidik rakyat bukan menghasut rakyat dengan pelbagai permainan yang kotor. Berpolitiklah secara bermaruah.

Rabu, 3 Februari 2010

Pemikiran Al Banna




Resolusi Konvensyen Pemikiran Al Banna (KoBanna)

Kemelut perbezaan ideologi dan kekeliruan identiti yang melanda bangsa Melayu Muslim, sebagai bangsa teras umat islam di negara ini, memerlukan satu jawaban yang mampu membawa satu penyelesaian yang menyeluruh. Penguasaan ideologi barat yang berasaskan humanisme telah berjaya mencengkam pemikiran bangsa Melayu sehingga mereka sudah tidak yakin dengan kemampuan diri dan terpaksa bergantung kepada bangsa lain. Lebih memburukan lagi apabila bangsa Melayu Muslim ini sanggup berganding bahu dengan bukan islam demi menjatuhkan bangsa Melayu Muslim yang lain. Perebutan kepada kuasa politik menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga terpaksa berkompromi dalam ideologi perjuangan mereka. Dalam masa yang sama kesempatan ini di gunakan sepenuhnya oleh bangsa lain untuk menghina orang Melayu dan menuntut segala hak kesamarataan termasuk dalam isu-isu agama.
Sebagai bangsa majoriti, masa hadapan negara amat bergantung kepada keutuhan bangsa Melayu. Maka dengan itu konvesyen ini telah mengenegahkan pemikiran Imam Hassan Al Banna dalam menentukan metod yang praktikal bagi merubah masyarakat Melayu Muslim untuk menjadi sebuah bangsa yang mulia dan berwibawa. Hasil pembentangan dan perbincangan, konvensyen ini mengemukakan resolusi-resolusi berikut :-

1. Untuk menjayakan agenda Islam yang besar ianya mestilah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang kuat. Oleh itu, selaku kaum majoriti, membangunkan semula bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan utama pemimpin negara.
2. Perpecahan antara golongan Melayu Islamis dan Melayu Nasionalis yang berpunca dari sikap kepartian yang melampau menjadi punca kelemahan bangsa. Oleh itu ia mesti di hentikan segera supaya orang Melayu tidak terpesong dari tujuan asalnya dan terjebak dalam agenda orang lain.
3. Pemikiran humanisme yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan akan melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti Kemelayuan dan Ketimurannya serta hilang jatidiri sebagai seorang yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Untuk menyekat pemikiran ini masyarakat Melayu Muslim mesti dikembalikan semula kepada pendekatan keagamaan.
4. Model Fikrah Islam Syumul Al-Banna yang merangkumi aspek akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan undang-undang terbukti telah berjaya menangkis fahaman dan ideologi Barat dan mampu membangunkan kembali jatidiri masyarakat.
5. Usaha mengubah nasib orang Melayu Islam di tanah air sendiri tidak akan membuahkan hasil jika Islam tidak diambil sebagai dasar dan falsafah. Memisahkan Melayu daripada Islam dalam konteks pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat tidak akan membawa kesejahteraan, sebaliknya keadaan akan menjadi semakin gawat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial.
6. Kekuatan jiwa merupakan kekuatan utama dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah manusia, tanpa mengenepikan ekonomi dan politik. Kesedaran rohani yang kita inginkan ialah hati yang hidup, kebangkitan perasaan dan sentimen yang sebenar, hati baru yang menyala, perasaan yang bergejolak serta roh yang bercita-cita tinggi. Semua ini mesti di tanam di dalam jiwa bangsa Melayu Muslim.
7. Dalam menilai dan menentukan sikap terhadap sesuatu isu, masyarakat Melayu Muslim mesti berpandu kepada Maqasid Syarak dengan hujjah dari nas yang sahih bukan berasaskan kepentingan kuasa politik.
8. Tahaluf muslim dengan non muslim tidak boleh membawa kepada wala’ kepada non muslim apatah lagi untuk membantu mereka bagi menjatuhkan muslim lain. Ia hanya di benarkan apabila non muslim memenuhi syarat yang di tentukan syarak.

Selasa, 2 Februari 2010

ISMA Pulau Pinang Ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna

Peserta wanita ISMA Pulau Pinang sedang bersedia sebelum
memasuki Dewan Seri Sarjana
Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Rozaini Othman sedang
membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran

Jumaat malam yang lepas lebih kurang pukul 11.30 malam, kami rombongan ISMA Pulau Pinang bertolak ke Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa (KoBanna) di Kampus UNITEN Putrajaya. Kami berjumlah seramai 45 orang mula bergerak dengan sebuah bas dan kereta. Jelas terpampang di wajah masing-masing keterujaan mereka untuk mengetahui apa yang akan disampaikan dalam konvensyen tersebut.

Kami tiba di UNITEN pukul 5.30 pagi. Sebaik tiba masing-masing membuat persiapan diri hinggalah selesai semuanya pada pukul 7.00 pagi. Kami bersarapan nasi lemak dan air mineral di cafe UNITEN. Kemudian terus bergerak dengan bas ke Dewan Seri Sarjana dengan penuh semangat menantikan pembentangan kertas kerja konvensyen. Sebaik tiba di dewan, suasana amat sibuk dengan ribuan orang sedang berada di luar dewan bagi membuat pendaftaran. Setiausaha ISMA Pulau Pinang, Saudara Rozaini Othman terus membuat pendaftaran di kaunter yang disediakan. Kami diberikan beg yang mengandungi bahan-bahan konvensyen. Apabila masuk ke dalam dewan, hampir separuh dewan di sebelah bawah telah dipenuhi dengan hadirin yang datang dari seluruh Malaysia. Sasaran 3000 peserta konvensyen oleh penganjur nampak akan mencapai sasarannya.

Tepat 9.15 pagi, Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman telah menyampaikan ucaptamanya. Banyak perkara yang disentuh di dalam ucapannya. Antaranya ialah mengapa ISMA mahu mengetengahkan pemikiran Al Banna dalam negara Malaysia di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menjelaskan bahawa betapa pentingnya Melayu Islam di Malaysia berkuasa penuh ke atas bumi Malaysia ini. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan klip ringkas berkaitan Imam As Syahid Hasan Al Banna dan pandangan beberapa tokoh ISMA tentang sosok peribadi mujadid alaf ini.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rushdi b Alias tampil sebagai pembentang kertas kerja yang pertama bertajuk 'Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda'. Diikuti selepas sesi rehat tengah hari ialah pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Mohd Hazizi b Abd Rahman yang bertajuk 'Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia'. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Mohd Fauzi b Asmuni yang membentangkan kertas bertajuk 'Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak'.

Ketiga-tiga kertas kerja yang dibentangkan oleh tokoh-tokoh ISMA tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di Malaysia sebenarnya. Pendapat yang dikemukakan ingin mengejak Melayu kembali bersatu memartabatkan bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu ketika dulu dalam landasan Islam. Melayu harus punya jatidiri yang mantap agar Melayu tidak mudah diperkotak katik-katikkan orang lain. Kesemua pembentang bersetuju bahawa bagi menjayakan misi ini dan meletakkan pemikiran Hasan Al Banna dalam kerangka pemikiran Melayu perlukan kepada pembinaan generasi yang berterusan. Semoga apa yang dilontarkan oleh pembentang kertas kerja akan dapat difahami oleh majoriti Melayu di luar sana. Mungkin bukan hari ini, tapi semoga ia akan difahami dalam maksud yang sebenar nanti.

Antara peserta wanita konvensyen khusyuk menantikan
bermulanya konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen dari Pulau Pinang, Saudara
Mohd Fadzli dan Ustaz Fauzi sedang tekun membaca buku konvensyen.
Sebahagian peserta konvensyen

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Saudara Setiausaha Agong ISMA, Aminuddin b Yahya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan yang antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan pemimpin negara.

Habis sahaja pembentangan resolusi oleh Saudara Aminuddin, hampir 3000 peserta bersurai dengan penuh harapan Melayu Islam di Malaysia akan bangkit sebagai satu kuasa di buminya sendiri suatu hari nanti, insya Allah. Semuanya pasti akan dirungkaikan satu persatu bila masing-masing ahli ISMA pulang ke kawasan masing-masing.

Rombongan ISMA Pulau Pinang terus bertolak pulang dan tiba di Hospital Seberang Jaya, tempat kami bertolak pada pukul 2.15 pagi.