Isnin, 13 Jun 2011

Konvensyen Keluarga Melayu Muslim




Anda ingin membina keluarga yang berjaya, bahagia di dunia dan terjamin di akhirat?
Anda idamkan keluarga penuh sakinah, mawaddah dan rahmah tapi masih tercari-cari apa resepinya?
Mahukan anak yang soleh lagi cemerlang, penyejuk mata dan hati ayah bonda?
Apakah agenda keluarga anda?

*************************************

Jika semua jawapan anda adalah Ya, anda perlu hadir ke
 
KONVENSYEN KELUARGA MELAYU MUSLIM 2011!

Sertai kami untuk pelbagai agenda menarik dalam menyumbang dan meningkatkan ketahanan jati diri serta mengembalikan maruah Keluarga Melayu Muslim dan Agama Islam di Malaysia.

‘Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Melayu Muslim’

Tarikh : 9 Julai 2011, 8.00 pg-5.00 ptg.
Tempat : Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1, Putrajaya
Yuran : RM10 seorang
Sasaran : Masyarakat Melayu Muslim (Lelaki & Perempuan)

Pembentangan Menarik:
• Ucaptama – Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Melayu Muslim:
Ustaz Abdullah Zaik b Abdul Rahman
Presiden ISMA

• Pembentangan Kertas Kerja 1 – Peranan Bapa Sebagai Tunggak Keluarga Beragenda:
Prof. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz,
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP)

• Pembentangan Kertas Kerja 2 – Pendidikan Anak-Anak: Cabaran dan Penyelesaian:
Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba,
Pensyarah Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

• Forum – Realiti Keluarga Melayu: Cabaran dan Masa Depan:
Moderator : Ustazah Sabariah Binti Salleh,
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komuniti, Sosial dan Keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Panelis:
1. Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Pensyarah Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor,
Ketua Wanita ISMA

2. Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin,
Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

3. Dato’ Hj. Zainul Rijal Abu Bakar,
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Hubungi : Puan Rasyidah Arshad 019-2676074
Emel: info@konvensyenkeluarga.net

Anjuran Bersama:
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) |
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Jangan lepaskan peluang keemasan ini!


Khamis, 9 Jun 2011

31 tahun sudah usiaku

6 Jun 2011 yang lalu genaplah usiaku 31 tahun hidup di alam dunia yang fana ini. Aku bersyukur kepada Allah yang masih lagi memberikan ruang kepada aku menghirup udara nikmat-Nya lagi.

Tempoh hidup 31 tahun hidup di dunia ini penuh dengan kisah suka dan duka. Banyak pengalaman hidup yang berjaya aku kutip. Ketika kecil aku ditimang oleh kedua ibu dan ayah dengan penuh kasih sayang. Mereka membesarkan aku dan lima orang adikku yang lain dengan penuh cabaran. Terima kasih ibu dan ayah atas pengorbanan membesarkan kami walau dalam keadaan hidup kita yang amat sederhana.


Kini usiaku 31 tahun. Aku sudah berkeluarga. Didampingi seorang isteri yang solehah, Salini bt Suid yang aku nikahi pada 5 Disember 2004. Isteriku merupakan pemberian terbaik Allah kepadaku. Suatu pemberian yang amat aku hargai. Walau kadang-kadang aku pernah menyakiti hatinya, namun dia tetap melayan karenahku dengan penuh kesabaran.

Tiada ungkapan selain terima kasih dan 'Abang sayang ayang' yang mampu aku ucapkan buat isteri tercinta. Semoga Allah memberikan rahmah-Nya kepada kita.

Hasil perkahwinan kami enam tahun setengah yang lalu, kami dikurniakan Allah dua orang putera comel. Anak sulung yang diberi nama Ulwan kini telah berusia enam tahun. Sementara adiknya, Nu'man bakal genap empat tahun pada 21 Jun ini. Buat Ulwan dan Nu'man, abi amat menyayangi Ulwan dan Nu'man. Abi inginkan anak-anak abi besar nanti menjadi pejuang agama Allah ini.

Pada usia 31 tahun kini, aku berazam untuk memperbaiki diriku dalam menyayangi isteri dan anak-anak. Aku sedar ya Allah bahawa aku amat lemah dalam banyak perkara. Aku berjanji kepada-Mu wahai Allah untuk mengubah sikapku yang terlalu banyak salah dan dosa terhadap-Mu.

Seringkali aku lalai terhadap ujian duniawi. Semoga aku mampu mengubah diriku ini menjadi manusia yang lebih baik di sisi Ilahi.

Sabtu, 4 Jun 2011

Sukarnya istiqamah

Istiqamah atau dalam bahasa kini, konsisten adalah sesuatu yang digalakkan di dalam Islam. Rasulullah mengajar umatnya agar melakukan perbuatan baik secara istiqamah atau berterusan. Namun untuk istiqamah atau konsisten ini merupakan suatu yang mencabar diri jika tidak diiring dengan kekuatan jiwa.

Istiqamah dalam semua perbuatan kita jika dapat dilakukan ia akan melahirkan manusia yang penuh berdisiplin. Contohnya, dalam menunaikan solat fardhu. Ramai orang menunaikan solat fardhu. Namun berapa ramai yang mampu istiqamah melakukan solat jamaah di surau atau di masjid.

Begitu juga dalam amal-amal yang lain seperti bersedekah. Adalah sesuatu yang sukar sebenarnya melatih diri menyumbang RM1 ke dalam tabung masjid pada hari Jumaat setiap minggu jika ianya tidak dipupuk dari awal.
 
Justeru, saya merasakan bahawa untuk memupuk istiqamah ini, ianya harus bermula sejak anak kecil. Ibu bapa wajar melatih anak budaya Islam dan baik sejak ia kecil. Perintahkan mereka solat awal, galakkan mereka memberikan sumbangan ke dalam tabung masjid atau sumbangan lain dengan nilai yang kecil pada peringkat awal.

Yakin dan percayalah, jika istiqamah ini adapat kita pupuk ke dalam diri kita dan anak kita dengan baik, kehidupan kita akan lebih tersusun. Semoga saya yang menulis ini mampu untuk istiqamah dalam hal ehwal ibadah dan kehidupan lainnya.

Sabtu, 18 September 2010

Ustaz Dahlan Pergi Bertemu Maha Pencipta

 Mereka yang pernah mendapat sentuhan tarbiyah daripada mujahid dakwah ini
pasti merindui wajah tenang dan untaian kata-kata hikmah daipada peribadi hebat ini.

Sebentar tadi menerima beberapa kiriman emel daripada rakan-rakan memberitahu berita duka ini. Al-Fadhil Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan b Mohd Zin telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi (18 September 2010 / 9 Syawal 1431). Ustaz Dahlan yang koma sejak pertengahan Ramadhan meninggal dunia akibat daripada pelbagai komplikasi penyakit yang dihidapi sejak sekian lama. Isteri beliau telah meninggal pada bulan Mei tahun lepas.

Secara peribadi, saya tidaklah mengenali tokoh dakwah hebat ini. Saya banyak mendengar tentang kegigihan dan kehebatan beliau menyebarkan dakwah di Perlis khasnya dan Malaysia amnya. Banyak sudah individu yang mendapat tarbiyah atau didikan agama yang tidak sedikit daripada Ustaz Dahlan.

Ustaz Dahlan merupakan pengasas Ma'had Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Perlis. Institusi pendidikan yang cukup popular di utara tanah air ini antara jasa terbesar allahyarham dalam mengembangkan kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat Islam Malaysia.

Marilah sama-sama kita doakan agar Allah menempatkan allahyarham Ustaz Dahlan bersama para anbiya' dan solihin. Allahyarham pergi bertemu Tuhannya membawa bekal yang hebat insya Allah untuk dipersembahkan. Kita yang masih hidup ini sudahkah mempunyai bekal untuk dibentangkan di hadapan Rabbul Jalil nanti? Kematian adalah ujian dan peringatan bagi yang hidup.

Ustaz Dahlan koma sejak pertengahan Ramadhan yang lalu.

Isnin, 13 September 2010

Idulfitri 1431 H

Sudah agak terlalu lama saya tidak menulis di Bangun Insan. Sekali lagi dek kerana disiplin diri dalam menulis masih belum lagi konsisten. Insya Allah hari ini cuba juga menulis sedikit. Hari ini saya ingin menulis berkaitan sambutan Idulfitri saya dan keluarga. 

Tahun ini, saya dan keluarga menyambut lebaran di rumah ibu ayah saya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Kami pulang ke Teluk Kumbar pada hari Rabu, 8 September. Lebih kurang pukul 12:00 tengah hari, saya, isteri dan anak-anak keluar meninggalkan rumah kami di Bandar Bertam Putra, Kepala Batas menuju Teluk Kumbar. Setelah singgah di pelbagai tempat dengan pelbagai urusan, kami pun tiba di rumah ibu ayah pada pukul 8:00 malam.

Banyak cerita dan pengalaman raya tahun ini. Antaranya ialah, saya terpaksa beratur selama lebih tiga setengah jam bagi mendapatkan enam kilogram santan. Setelah beratur begitu lama, penjual santan mengatakan hanya boleh memberi dua kilogram santan sahaja kepada pembeli-pembeli dengan alasan kelapa telah habis. Saya selaku pembeli menerima sahaja. Asalkan dapat santan yang akan digunakan untuk memasak rendang, lemak dan gulai kegemaran kami sekeluarga.

Balik sahaja daripada membeli santan, terus saya membantu ayah saya membakar lemang. Inilah penglaman pertama membantu ayah membuat lemang sejak ayah membuat lemang tiga tahun sudah. Sebelum ini tidak berkesempatan kerana beraya di rumah mertua pada awal raya. Rupanya tidaklah susah sangat membuat lemang ini. Cuma perlu kekuatan berhadapan dengan api dan asap dalam tempoh lima jam. 

Dibantu oleh dua pembantu kecil, Ulwan dan Nu'man
Selesai membakar lemang, saya terlena seketika. Bangun daripada tidur terus bersiap untuk keluar mencari songkok anak-anak. Entah kenapa semuanya telah selesai dibeli sekian lama songkok anak-anak pula terlupa kali ini. Setelah membeli songkok, kami terus menuju pasaraya Giant bagi membeli keperluan untuk rumah ibu. Maka berbuka puasalah kami di Giant. Sekali lagi saya terperangkap dengan kesesakan semasa membayar di kaunter Giant. 

Pagi raya, saya membawa isteri, ibu dan adik perempuan menunaikan solat idulfitri di masjid kampung sebelah. Saya memang sejak dahulu agak kurang selesa untuk solat di masjid kampung saya kerana seorang imamnya yang amat saya rasa tidak layak menjadi imam. Kami tiba di Masjid Ridhwaniah, Sungai Batu sebelum jam 8:00 pagi. Ketika itu, hanya ada beberapa orang sahaja yang sedang menyiapkan hamparan tikar di luar masjid. Takbir mula bergema pada 8:10 pagi dan orang ramai mula memenuhi ruang-ruang masjid. 

Selesai solat sunat idulfitri, kami dihidangkan dengan khutbah idulfitri yang agak baik isinya. Khutbah yang dibacakan oleh khatib antara lain mengajak para jamaah sentiasa dapat mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadhan. Inilah fenomena yang sering berlaku. Masjid dan surau dipenuhi masyarakat pada bulan Ramadhan, namun masjid dan surau kembali lengang apabila Syawal menjelma. Sesuatu yang perlu dirawat oleh kita semua secara bersama.

Tiba di rumah sekitar jam 10:50 pagi sudah menanti tetamu pertama kami iaitu jiran sebelah rumah ibu. Sebaik pulang tetamu tersebut kami sekeluarga bersalam-salaman memohon keampunan sesama sendiri. Itulah tradisi setiap tahun.
Nu'man beraya bersama atok dan nenek.
Ulwan menerima duit raya daripada nenek.

Selepas menerima tetamu, kami sekeluarga keluar menziarahi saudara mara di sekitar Pulau Pinang. Tiba di rumah pada jam 8:30 malam. Semua ceria walaupun diri letih berjalan seharian. Alhamdulillah ukhuwah kekaluargaan berjaya dieratkan lagi sempena lebaran setahun sekali ini. Kesempatan digunakan sebaik mungkin kerana dalam kesibukan harian agak sukar berjalan ke rumah saudara mara.
Semoga tahun hadapan Allah pertemukan kita lagi dengan Ramadhan dan segala nikmatnya. Taqabbalallhu minna wa min kum, minal 'aaideen wal faizin dan kullu aam wa antum bikhair.

Bergambar di halaman rumah ayah ibu sebelum berangkat ke rumah mertua di Kepala Batas, Alor Setar.